Sangeeta malu tonton filem lakonan sendiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lain orang, lain ragamnya. Begitulah juga pelakon Sangeeta Krishnasamy mendedahkan tidak suka menonton filem lakonannya sendiri.

Sangeeta berkata, dia menolak untuk menonton tak kira ketika majlis pra tonton atau filem ditayangkan di pawagam.

“Saya tak tahu, sukar menjelaskan kenapa saya tidak suka menonton filem lakonan sendiri.

“Mungkin boleh dianggap sebagai ketakutan sukar dibendung. Sejujurnya, saya tak selesa melihat wajah atau mendengar suara sendiri.

“Saya juga malu menonton ketika babak lakonan dimainkan semula dalam monitor. Cukup sahaja pengarah kata okay, saya lega,” katanya kepada BH Online.

Persoalan diajukan kepada pemenang Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-29 ketika kelihatan berada di luar pawagam pada malam gala dan pra tonton filem Juang di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sangeeta berkata, dia didekati doktor dan jururawat memuji lakonannya sebagai penghantar makanan bernama Santhia.

“Mereka beritahu babak saya membantu seorang lelaki tua berbangsa Cina amat menjentik hati dan berjaya diterjemahkan dengan baik.

“Adik saya bekerja sebagai petugas barisan hadapan menangis selepas menonton filem Juang, Jadi, pengarah dan penulis skrip berjaya melunaskan tanggungjawab dengan baik,” kata Sangeeta.

 

Sangeeta bersama barisan pengarah dan pelakon filem Juang. - NSTP/Aziah Azmee
Sangeeta bersama barisan pengarah dan pelakon filem Juang. – NSTP/Aziah Azmee

 

Bintang filem Adiwiraku itu berkata, dia ada cara menyokong filem lakonan sendiri ketika ditayangkan di pawagam.

“Tak mungkin saya beli tiket menonton filem lakonan sendiri.

“Tetapi, saya akan membelikan tiket untuk keluarga dan rakan,” katanya.

Filem Juang dihasilkan sebagai sanjungan tinggi terhadap perjuangan petugas barisan hadapan ketika era pandemik COVID-19.

Malah, naskhah itu juga hadir dalam acuan berwajah satu Malaysia dengan garapan lima kisah inspirasi, pengorbanan dan semangat memerangi virus itu.

Dihasilkan mengikut perspektif lima pengarah prolifik negara iaitu Aziz M Osman, Datuk Yusry Abdul Halim, Kabir Bhatia, Osman Ali dan diketuai Matt Lai, karya ini dipersembahkan seperti menonton dokumentasi kisah benar.

Karya itu mengangkat apresiasi dan penghormatan tiada galang ganti kepada petugas barisan hadapan, sekali gus digarap dalam suasana pandemik serta keadaan perit dilalui seluruh rakyat Malaysia.

Idea dan kritis pandangan lima sutradara projek mega dihasilkan dengan kos RM6 juta itu turut mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records kerana membabitkan lebih 500 pemain seni termasuk pelakon dan kru.

Filem kolaborasi terbitan Asia Tropical Film Sdn Bhd dan The Engine Sdn Bhd itu turut mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Selain Sangeeta, Juang dibintangi Datuk Rosyam Nor, Vanidah Imran, Zizan Razak, Zul Ariffin, Janna Nick, Jack Lim, Steve Yap dan ramai lagi.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat