PETALING JAYA, – Seorang saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dilaporkan telah diserang oleh sekumpulan 10 lelaki di kediamannya berhampiran Petaling Jaya, hari ini.
Menurut The New Strait Times (NST) kumpulan penyerang tersebut telah mengikat dua pengawal keselamatan sebelum memasuki rumah mangsa. Mereka turut mengeluarkan amaran kepada saksi berkenaan agar “hanya duduk di rumah dan jangan cuba jadi hero”.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, mengesahkan kejadian tersebut kepada NST dan memaklumkan bahawa kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Ketua pendakwa raya dalam kes tersebut, Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin, turut mengesahkan kejadian dan menyatakan pihak pendakwaan akan membawa perkara itu ke perhatian mahkamah apabila perbicaraan bersambung pada 19 Ogos ini.
Lim Guan Eng, yang juga Penasihat DAP, sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas beberapa pertuduhan rasuah berkaitan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang. Beliau didakwa menggunakan kedudukannya ketika menjadi Ketua Menteri untuk meminta suapan daripada Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
Antara tuduhan yang dikenakan termasuk permintaan 10 peratus keuntungan syarikat daripada Zarul, penerimaan wang berjumlah RM3.3 juta, serta penglibatan dalam pelupusan dua lot tanah milik kerajaan negeri kepada syarikat berkaitan projek tersebut.
Kejadian serangan ini menimbulkan persoalan mengenai keselamatan saksi penting dalam kes berprofil tinggi serta potensi gangguan terhadap proses perbicaraan yang sedang berjalan.


