KUALA LUMPUR – Rakyat Singapura diingatkan agar merancang untuk bercuti dan berbelanja di Malaysia ini susulan nilai Ringgit Malaysia (RM) kembali kukuh.
Media Singapura, MSN mengingatkan rakyatnya yang merancang untuk bercuti di Malaysia untuk mengambil maklum bahawa nilai dolar Singapura tidak setinggi dulu.
Selepas beberapa tahun melebah, Ringgit Malaysia (RM) kini kembali mengukuh dengan lonjakan ekonomi.
Mengikut data terkini daripada Google Finance, S$1 kini bersamaan dengan RM3.34.
Pada hari Isnin, 5 Ogos, Bloomberg melaporkan bahawa Ringgit naik sebanyak 2.3 peratus, pencapaian terbesar sejak Oktober 2015.
Lebih menarik lagi, Ringgit menunjukkan prestasi lebih baik berbanding mata wang Asia lain, termasuk Yen Jepun dan Renminbi China.
Setakat tahun ini, Ringgit mengatasi mata wang rakan-rakan Asianya.
Pada hari Isnin, ia diperdagangkan pada 4.4047 berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD), meningkat sebanyak 2.1%, dan pada 5.56 petang, ia berada pada 4.4272 per USD, naik 1.55 peratus.
Ringgit mengukuh selepas tiga tahun melemah disebabkan usaha Kerajaan Malaysia untuk mengurangkan defisit bajet.
Usaha ini termasuk memacu dasar untuk meningkatkan pelaburan asing dan mengurangkan subsidi.
Ini telah menyebabkan dana global kembali berminat, dengan suntikan AS$112 juta (S$148 juta) ke dalam saham Malaysia tahun ini.
Pemulihan ekonomi Malaysia juga semakin pesat, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua melebihi semua jangkaan.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bercakap kepada Bernama pada 14 Julai bahawa Ringgit berada di kedudukan teratas di rantau ini pada 11 Julai, dengan peningkatan kira-kira 2 peratus, memetik laporan The Vocket.
Beliau berkata peningkatan ini berlaku disebabkan strategi bersepadu antara kementeriannya dan bank pusat.
Beberapa langkah yang diambil termasuk menggalakkan pelaburan langsung asing ke Malaysia oleh syarikat berkaitan kerajaan dan memantau pertukaran hasil import dan eksport.
Beliau juga yakin bahawa Ringgit akan terus meningkat pada separuh kedua tahun 2024.
Untuk rekod, prestasi Ringgit jauh berbeza berbanding awal tahun ini apabila ia jatuh ke RM4.77885 berbanding USD pada April, hampir dengan nilai terendahnya dalam 26 tahun.
Pada Februari, Ringgit jatuh ke RM3.57 berbanding dolar Singapura, yang dilaporkan sebagai tahap terendah sejak Krisis Kewangan Asia pada Januari 1998.