KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad terus mengasak Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengemukakan bukti kononnya beliau telah mencuri berbilion ringgit ketika mengemudi kerajaan.
Bekas Perdana Menteri itu malah memberitahu bahawa beliau sedang menunggu bukti yang dikatakan ada kotak penuh dokumen yang mengaitkannya dengan tuduhan menggelapkan wang kerajaan.
“Oi! Bila lagi? Kata nak tunjuk bukti jika diberi masa dua minggu. Sekarang sudah lebih satu tahun.
“Bukti konon saya curi duit Kerajaan berbillion –billion. Duit sebanyak ini tidak boleh disembunyi.
“Kalau benar saya curi berbillion Ringgit, awak tentu boleh bukti. Tapi mana dia bukti? Konon ada kotak penuh dengan dokumen-dokumen. Tunjuk la. Oh. Rahsia konon,” tempelak Mahathir dalam kenyataan pada Selasa.
Bekas Presiden Umno itu juga menyindir dakwaan yang menuduhnya menyimpan wang yang dicuri itu di bank Switzerland.
“Ada duit di bank Switzerland. Saya jemput kita sama-sama pergi Switzerland. Senyap sunyi. Tak sambut jemputan saya.
“Sebaliknya pergi kacau anak saya. Tunjuk la – mereka bagi berbillion kepada saya? Tidak tunjuk sampai sekarang,” bidas beliau.
Dr Mahathir mendakwa tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadapnya hanyalah dusta.
“Yang tahu cakap bohong, buka mulut bohong.
“Takut hadap mahkamah. Tidak payah takut kerana semua orang tahu awak bohong.
“Tunjuklah bukti kalau ada. Saya sedang tunggu,” desak beliau.
Pada 6 Mei tahun lalu, Anwar mencabar bekas pemimpin dan pembesar yang mendapat keuntungan ketika era pemerintahan mereka untuk berkongsi kekayaan dengan orang Melayu yang lain.
Jelas Anwar, ini kerana pemimpin-pemimpin berkenaan dilihat hanya mengaut keuntungan untuk diri sendiri dan keluarga ketika pentadbiran masing-masing.
Namun begitu perkara tersebut dinafikan Dr Mahathir dengan mencabar Anwar untuk membuktikan dakwaan beliau memiliki sejumlah wang seperti yang dikatakan.