KUALA LUMPUR – Tuntutan kerusi DUN Mahkota tidak sewajarnya dibincang melalui media memandangkan isu ini masih belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu sebaliknya menyeru semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan terutama ahli Amanah untuk memberikan tumpuan penuh kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang sedang dipertandingkan sekarang.
“Saya ambil maklum tuntutan kerusi DUN Mahkota oleh akar umbi Amanah yang telah diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain Jumaat lalu.
“Saya menegaskan bahawa isu tuntutan kerusi DUN Mahkota ini tidak perlu dibincangkan melalui media memandangkan isu ini masih belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi kerajaan Perpaduan.
“Saya menyeru semua pihak dalam kerajaan Perpaduan terutama ahli Amanah untuk memberikan tumpuan penuh kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang sedang dipertandingkan sekarang,” gesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu dalam kenyataan, malam tadi.
Tegas Mohamad lagi, Amanah terus komited kepada usaha untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.
Semalam, Amanah Kluang mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, berkata ia berikutan AMANAH pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 2022.
Katanya, kenyataan terbuka Umno Kluang yang menyatakan secara terbuka tidak mahu bekerjasama dengan satu daripada komponen Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini juga sangat menggores hati akar umbi sekali gus membuka ruang musuh memecah belahkan hubungan PH dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.