IPEF: Lebih US$23 bilion potensi projek infrastruktur dikenal pasti – Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia yang juga antara rakan kongsi Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF), berkata projek keutamaan infrastruktur bernilai lebih daripada US$23 bilion telah dikenal pasti pada Forum Pelabur Ekonomi Bersih (CEIF) yang diadakan buat julung kalinya di Singapura, hari ini.

Ini termasuk projek sedia ada yang bernilai US$6 bilion yang turut dibentangkan kepada para pelabur.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz telah menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri IPEF dan CEIF, kata kenyataan kementerian itu hari ini.

Pelabur dan pihak projek dari Malaysia yang menyertai forum itu adalah Khazanah Nasional Bhd, Petronas, Gentari, NanoMalaysia Bhd (Gigafactory), MTC Orec Sdn Bhd, Faradays Energy Sdn Bhd dan Limpahan Engineering Sdn Bhd.

“CEIF menghimpunkan ramai pelabur terkemuka di rantau ini, pihak projek serba canggih, usahawan permulaan yang inovatif dan pegawai kanan kerajaan bagi menggerakkan pembiayaan menyokong penggunaan teknologi dan infrastruktur mesra iklim serta tenaga bersih di rantau IPEF,” katanya.

MITI berkata hasil utama mesyuarat berkenaan adalah pemeteraian tiga perjanjian iaitu Perjanjian IPEF (utama), Perjanjian Ekonomi Bersih dan Perjanjian Ekonomi Adil yang telah disepakati pada Mesyuarat Menteri IPEF di San Francisco pada 13-14 Nov, 2023.

Tengku Zafrul telah memeterai ketiga-tiga perjanjian tersebut bagi pihak kerajaan Malaysia.

Selain Malaysia, IPEF yang juga rangka ekonomi diterajui oleh Amerika Syarikat, turut merangkumi negara rakan kongsi seperti Australia, Brunei Darussalam, Fiji, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Perjanjian Ekonomi Bersih IPEF akan memajukan kerjasama serantau untuk mempercepat penggunaan teknologi tenaga bersih, mempromosi aktiviti pasaran karbon, bekerjasama dalam rantaian nilai Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) serantau dan antarabangsa serta menggalakkan pengangkutan lestari.

Tengku Zafrul berkata perjanjian itu turut mewujudkan mekanisme baharu untuk rakan kongsi IPEF membangunkan serta menyertai Program Kerja Bersama (CWP).

“Bersempena dengan Mesyuarat Menteri, Malaysia turut mengambil peluang mengemukakan instrumen ratifikasi Perjanjian IPEF Berkaitan Daya Tahan Rantaian Bekalan yang ditandatangani pada 14 Nov, 2023 di San Francisco.

“Dengan selesainya proses ratifikasi, Malaysia kini bersedia untuk melaksanakan perjanjian ini yang mewakili langkah penting dalam usaha memperkukuhkan daya tahan rantaian bekalan,” katanya.

Pada masa sama, Malaysia berhasrat untuk memanfaatkan rangka kerja itu bagi bekerjasama dengan rakan kongsi IPEF lain untuk memperbaiki, antara lainnya, ketahanan, kecekapan, kepelbagaian dan inklusiviti rantaian bekalan.

Tengku Zafrul juga menyifatkan ratifikasi perjanjian itu sebagai langkah penting ke arah mencapai objektifi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama di rantau Indo-Pasifik.

“Malaysia melihat sinergi antara Perjanjian IPEF dengan dasar semasa Malaysia iaitu Strategi Semikonduktor Kebangsaan, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga.

“Saya percaya IPEF memberikan peluang kepada kita untuk bekerja secara holistik supaya ia memberi manfaat kepada semua rakan kongsi IPEF secara keseluruhan,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata Malaysia berharap untuk membangunkan kerjasama dan meneroka langkah-langkah sokongan dua hala dengan negara rakan kongsi IPEF dalam membiayai dan menerima teknologi baharu seperti hidrogen hijau dan CCUS.

Malaysia juga menawarkan kerjasama bersama Akademi AntiRasuah Malaysia (MACA) di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam berkongsi pengalaman dan amalan antirasuah terbaik di bawah Katalog Bantuan Teknikal dan Inisiatif Pembinaan Kapasiti (TACB) sebagai bukti komitmen Malaysia dalam IPEF, kata Tengku Zafrul. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat