PUTRAJAYA: Menteri Hal Ehwal Agama Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil pendakwah popular ustaz Don Daniyal Don Biyajid bagi mendapatkan penjelasan lanjut kenyataannya yang dipertikai ramai berhubung sejarah hidup Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, beliau akan meminta Ketua Pengarah Jakim Hakimah Mohd Yusoff untuk mengatur pertemuan terbabit dalam masa terdekat.
“Jakim selalu ambil pendekatan macam itu di belakang tabir,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Al-Liqa Al-Qanuniy.
Terdahulu, kecoh di Facebook apabila seorang pensyarah kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Islam Malaysia membuat teguran terbuka kepada seorang pendakwah dipercayai Ustaz Don.
Kata pensyarah tersebut, orang ramai perlu berhati-hati dengan dakwah yang diberikan oleh ustaz selebriti itu kerana didakwa menyebarkan cerita serta hadith palsu.
Lebih hangat lagi, pendapat tersebut turut dikongsi semula oleh seorang pempengaruh dikenali sebagai @ZacZakirin13 yang turut mendakwa Ustaz Don sering berkongsi kisah-kisah palsu bersandarkan Nabi Muhammad SAW.
Semalam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah SAW berkaitan kisah Ummu Hani’ dimana penceritaan Ustaz Don dianggap lemah dan hadis digunakan adalah tidak bersumber.
Ustaz Don sebelum ini juga ada mengeluarkan kenyataan tentang dakwaan dirinya menggunakan hadis palsu dalam satu podcast sebuah radio tempatan.
Katanya, dia tidak mempunyai niat langsung untuk menyeleweng umat Islam bahkan semua buku-buku yang dirujuk adalah sahih menurut ulamak nya.