Cuma golongan maha kaya dikurangkan subsidi, bukan semua rakyat – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pengurangan pemberian subsidi itu tidak menjejaskan semua lapisan masyarakat, sebaliknya hanya membabitkan inisiatif kadar elektrik dan haji bagi golongan T20 sahaja.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mempersoal tindakan segelintir pemimpin politik menggerakkan kempen mendakwa kerajaan mengurangkan pemberian subsidi kepada semua lapisan masyarakat.

Selain itu Anwar juga mempersoal kewajaran kempen terbabit, selain menegaskan pendekatan itu terpaksa dibuat bagi mengurangkan bebanan ditanggung rakyat dalam golongan B40 dan M40.

“Saya kurang faham, mana kurangnya subsidi? Kita kurangkan (subsidi elektrik dan haji) bagi golongan kaya, bukan untuk rakyat tetapi hanya bagi golongan maha kaya.

“(Pemberian subsidi) tidak dikurangkan bagi majoriti rakyat dan 90 peratus tidak terkesan. Malah, kadar elektrik bagi industri sederhana kecil (IKS) dan makanan tidak dinaikkan.

“Kenapa nak politikkan isu ini? Kita nak jadi jaguh siapa?” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Anwar berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai pendekatan pengurangan pemberian subsidi yang membebankan rakyat.

Perdana Menteri turut mempersoal kewajaran subsidi haji diberi kepada golongan T20, sedangkan mereka mampu melakukannya pada kadar kos ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau menyatakan komitmen untuk melaksanakan pendekatan berkenaan walaupun menerima rungutan daripada golongan T20 berhubung pengurangan subsidi haji.

“Kamu (golongan T20) sudah kaya benor (sangat), takkan TH nak beri subsidi untuk pergi ke Makkah?

“Saya terpaksa ambil daripada orang kaya supaya tidak bebankan golongan miskin. Itu pun kadar agak minimal, kalau haji TH tak dibenarkan ambil untung, cuma ambil kira kos haji,” ujar beliau.

Mengenai jangkaan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), Anwar berkata, ia diputuskan sepenuhnya Bank Negara (BNM), selain menjelaskan berlaku satu kenaikan sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran.

“Baru sekali naik (OPR), ketimbang empat kali pada tahun lalu. Setakat saya boleh gesa, BNM harus teliti, bukan sahaja isu monetari tetapi fiskal dan keyakinan keseluruhannya.

“Kita juga harus terima kenyataan kenaikan OPR seperti di Singapura, akan membantu memperkukuh nilai mata wang,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, beberapa tindakan sudah dan akan dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), termasuk mengurangkan kebergantungan kepada mata wang republik berkenaan.

Beliau berkata, keputusan AS menentukan kadar OPR mengikut keperluan republik berkenaan tanpa memikirkan kesan kepada global walaupun dolar AS adalah mata wang yang masih kukuh di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya, ketua negara anggota ASEAN menerusi ‘Asian Monetary Fund’ bersetuju menggunakan mata wang masing-masing bagi urusan import dan eksport sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS.

“Umpamanya, import dan eksport dengan Indonesia, kita akan gunakan rupiah dan ringgit. (Pendekatan ini turut) dipersetujui China.

“Asas lain yang kita lakukan, termasuk negara perlu stabil dan memiliki dasar jangka panjang dan dasar fiskal yang bertanggungjawab, iaitu menurunkan defisit,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor).

Terdahulu, Perdana Menteri ketika menjawab soalan asal berkaitan kesan kejatuhan ringgit berkata, keadaan itu dalam tempoh terdekat ini sebahagian besarnya didorong pengukuhan dolar AS.

Beliau berkata, nilai ringgit menyusut 3.8 peratus berbanding dolar AS, manakala Yen Jepun (lebih enam peratus) serta dolar Australia, won Korea dan renmibi (sekitar tiga peratus) sejak Januari 2022.

Keadaan itu, katanya, dikaitkan juga dengan kenaikan kadar faedah dan OPR oleh bank pusat, masing-masing sebanyak 125 mata asas bagi ringgit, manakala Singapura (380 mata asas), Indonesia (225 mata asas) dan AS (500 mata asas) bagi tempoh sama.

“Saya kaitkan ini kerana kebijakan ekonomi dan BNM juga akan menentukan kekuatan ringgit. Namun, kita juga fikir kenaikan OPR dan kadar faedah terlalu pantas ada kesan negatif kepada peniaga, sebab itu kita kena ada imbangan untuk setiap yang dilakukan.

“Setakat ini, pandangan kita dan BNM adalah kaedah lebih teliti dan berhemah untuk menaikkan kadar faedah. Singapura naikkan kadar, jadi kekuatan mata wangnya lebih ampuh.

“Menerusi beberapa tindakan fiskal, kita turunkan defisit daripada 5.6 peratus kepada lima peratus, tetapi perlu dibuat secara berperingkat kerana tak mahu terlalu keras atau cepat yang akan menjejaskan projek pembangunan.

“Saya berpendapat, penurunan defisit tidak boleh terlalu mendadak. Ia perlu turun ke paras dianggap boleh diterima seperti diumumkan tetapi tidak boleh mendadak kerana akan menjejaskan projek pembangunan, terutama pendidikan kesihatan dan prasarana desa,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat