Khazanah labur dalam PolicyStreet, tingkat pasaran kurang tumpuan di Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dibawah mandat Dana Impak baru-baru ini menerajui pusingan pengumpulan dana Siri B syarikat teknologi insurans (InsurTech) tempatan Malaysia, PolicyStreet, di mana AS$15.3 juta (RM67 juta) telah dikumpul.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Khazanah akan melabur dalam PolicyStreet untuk meningkatkan perlindungan di pasaran kurang tumpuan di Malaysia.

“Dana Impak adalah komitmen kami terhadap pelaburan strategik bagi meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dan membina daya tahan negara, serta penyampaian faedah dan impak sosioekonomi kepada rakyat Malaysia.

“Pelaburan kami dalam PolicyStreet menyasarkan peningkatan penembusan insurans dalam segmen yang tidak mendapat tumpuan dan kurang mendapat tumpuan bagi menyokong keterangkuman, menyediakan perlindungan kewangan yang lebih baik, meningkatkan daya tahan isi rumah dan kesejahteraan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya Khazanah akan terus melabur dalam penyedia penyelesaian yang inovatif berkesan yang memanfaatkan teknologi dan inovasi produk untuk menyumbang kepada negara.

Ini katanya sejajar dengan komitmen Khazanah untuk memacu ekosistem permulaan tempatan melalui Future Malaysia Programme, sebagai sebahagian daripada imperatif strategik.

“Dana Impak berusaha untuk mencipta impak sosioekonomi dalam semua pelaburannya.

“Oleh itu, Khazanah telah menggunakan rangka kerja penilaian impaknya, Inisiatif SEMARAK, dalam proses penilaian pelaburan.

“Tesis impak Khazanah adalah berdasarkan bagaimana penyelesaian insurans inovatif yang disediakan oleh InsurTech seperti PolicyStreet, menawarkan liputan mudah akses dan bermakna kepada mereka yang tidak mendapat tumpuan dan kurang mendapat tumpuan dan seterusnya, meningkatkan perlindungan kewangan, daya tahan isi rumah dan menggalakkan kesejahteraan kewangan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Tambahnya, PolicyStreet juga melengkapkan tonggak perlindungan sosial Belanjawan Malaysia MADANI 2023 dengan menambah baik jaringan keselamatan untuk pekerja ekonomi gig yang terdedah kepada nahas jalan raya.

Selain itu melalui kerjasama berterusannya dengan rakan kongsi digital seperti CARSOME, foodpanda Malaysia dan Shopee Malaysia, PolicyStreet berada pada kedudukan yang baik untuk memacu impak sosial yang bermakna di Malaysia dan rantau ini.

“Dengan keupayaan teknologi dalaman dan pengunderaitan (underwriting) PolicyStreet, syarikat InsurTech itu bakal menjadikan perlindungan mudah diakses dan disesuaikan dengan lebih baik untuk kumpulan terpinggir.

Untuk rekod, Dana Impak adalah peruntukan RM6 bilion bagi tempoh lima tahun dan merupakan tonggak utama di bawah strategi Memajukan Malaysia (Advancing Malaysia) Khazanah, dengan matlamat untuk meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia, membina daya tahan negara, serta memberikan impak sosioekonomi kepada rakyat Malaysia.

PolicyStreet adalah syarikat InsurTech tindanan penuh (full-stack) yang menawarkan penyelesaian insurans digital dan tersuai kepada para pengguna dan perniagaan.

Dalam menawarkan penyelesaian insurans yang mudah, berpatutan dan bermatlamat, PolicyStreet berusaha untuk mengecilkan jurang perlindungan di Malaysia dan meningkatkan kadar penembusan insurans negara, yang pada 5.3%, kini ketinggalan berbanding negara lain seperti Singapura (9.3%) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) (9.4%).

Pelaburan Khazanah dalam PolicyStreet melengkapi Future Malaysia Programme yang bermatlamat untuk menyokong ekosistem permulaan (start-up) tempatan yang merangkumi para usahawan, syarikat permulaan, modal teroka dan program usaha sama korporat melalui kerjasama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa.

Future Malaysia Programme menyokong pelaburan ke dalam syarikat dengan model perniagaan mampan yang memberikan impak sosioekonomi kepada Malaysia, seperti PolicyStreet, yang memerlukan suntikan modal berisiko.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat