Jiwa Sara ‘tertinggal’ di lokasi penggambaran filem

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menjalani penggambaran filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa membuatkan jiwa pelakon utamanya, Sara Ali seolah-olah tertinggal di lokasi, meskipun penggambaran sudah lama berakhir.

Bagi Pelakon Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin TV3 pada 2015 itu, dia dan barisan pelakon bersama lebih dua bulan, lantas sukar buatnya membuang karakter yang dilakonkan itu.

“Saya dan barisan pelakon bersama selama 75 hari ketika menjayakan penggambaran filem ini. Jadi, saya merasakan perbezaan selepas selesai penggambaran.

“Saya seperti melalui ‘post traumatic stress disorder’. Setiap hari, kami meluangkan masa bersama, jadi bila selesai penggambaran saya ambil masa keluar bersama rakan lain.

“Bila keluar, saya tercari-cari rakan-rakan dalam filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa. Sedangkan, saya tahu mereka mempunyai kehidupan sendiri.

“Namun, jujurnya jiwa saya ‘tertinggal’ di lokasi penggambaran filem ini,” katanya kepada BH Online.

Tambah Sara, penghayatannya terhadap karakter menjadi punca sukar meneruskan kehidupan selepas penggambaran filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See itu selesai.

“Ada sesetengah cerita, kita menjayakan penggambaran mengikut lokasi, maknanya tidak mengikut turutan babak.

“Namun, filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa agak berbeza. Penggambaran dilakukan mengikut turutan babak. Hari ini babak satu, da dan seterusnya.

“Jadi, ia antara punca hubungan barisan pelakon lebih akrab. Ini kerana kami merasakan karakter dilakonkan mengikut perjalanan cerita.

“Saya sedar ada sesetengah pelakon perlu mengambil masa untuk membuang karakter dilakonkan sebelum menjayakan naskhah seterusnya.

“Namun, saya bernasib baik kerana saya berehat lama, kemudiannya pandemik COVID-19 menular,” katanya.

 

Barisan pelakon filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa bersama tetamu kehormat yang hadir pada majlis pelancaran filem di Pangkalan Udara Subang, baru-baru ini. – NSTP/Saifullizan Tamadi

 

Sara berkata, dia sebak menonton ‘trailer’ filem berkenaan, malah kesan filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa terlalu mendalam buatnya yang menjayakan watak wartawan bernama Natrah.

Justeru, Sara atau nama sebenarnya, Siti Sarah Hairi Ali berharap penonton dapat merasakan perasaan sama apabila menonton filem yang bakal menemui penonton pada 25 Ogos depan.

“Saya berharap filem ini dapat membangkitkan semangat rakyat Malaysia memandangkan memasuki fasa peralihan ke endemik.

“Memang ia tiada persamaan dengan jalan cerita filem, tetapi boleh ambil semangat untuk bangkit semula.

“Filem ini tidak hanya mewakili Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), ia juga mewakili rakyat Malaysia,” katanya yang turut mengharapkan prekuel dan sekeul untuk kisah ini.

Sara ditemui pada majlis pelancaran filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di Pangkalan Udara Subang, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentara Udara, Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, selain barisan pelakon, Datuk Adi Putra, Johan As’ari, Carmen Soo, Nas-T, Luqman Hafidz serta Pablo Amirul.

Filem bergenre aksi, ketenteraan dan patriotik terbitan Multimedia Film Productions ini mengisahkan Kapten Adib (Nas-T) dan Mejar Adnan (Adi) bersama skuadnya terbabit dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, sebuah negara bergolak.

Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, pesawat ditembak jatuh pengganas. Mengetahui perkembangan ini, TUDM mengarahkan misi menyelamatkan mereka.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat