Hattan masih ‘berbisa’, tak goyah dalam konsert solo

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyanyi otai, Datuk Hattan gagal menahan sebak saat mendendangkan lagu Rendang Tak Berbuah ketika menjayakan konsert solo, Hattan 35 Years Journey yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.

Insiden itu berlaku ketika Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 57, mengimbau kenangan bersama ibu tercinta, Allahyarham Hindon Md Sani yang menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit jantung pada 7 Disember lalu.

Dengan suara bergetar, Hattan berkongsi kisah berkat restu seorang ibu hingga mampu memberi kejayaan kepadanya selama 35 tahun berjuang sebagai anak seni.

“Pada awalnya, arwah ayah dan emak agak keberatan mengizinkan saya bermain muzik. Mereka mahu saya menyambung pengajian.

“Tetapi, saya ambil keputusan untuk bekerja. Suatu hari, saya pulang ke kampung dan terfikir macam mana nak mulakan kerja bermain muzik.

“Kami orang susah, tetapi emak tetap hulur RM20 kepada saya. Saya tahu mak bukan ada duit banyak, mungkin duit ini dia mahu membeli beras.

“Namun, kerana anak, emak beri juga. Dari situ, saya berjanji takkan sia-siakan duit ini,” ujar penyanyi bersuara ‘jantan’ ini sambil menerima tepukan semangat daripada penonton.

Sepanjang tiga jam beraksi, Hattan menunaikan janji dilafazkan bukan sahaja memberi hiburan, tetapi mengajak mereka kembali bernostalgia menerusi koleksi lagu didendangkan.

Hasilnya, emosi penonton larut dalam kesyahduan vokal Hattan yang seakan merintih terutama ketika menyanyikan lagu bernada melankolik seperti Meniti Perjalanan, Arca, Dia, Memburu Rindu, Sekuntum Mawar Merah dan Mahligai Syahdu.

Bagaikan ‘rollercoster’, Hattan kembali menghangatkan suasana menerusi lagu rancak seperti Biso Bonar dan lagu pembuka tirai konsert, Gerhana, Duit, Satu Malaya Dah Tahu serta Samba Apa Saja.

 

Hattan menampilkan anak terunanya, Adam Eiman sebagai penyanyi undangan dengan berkolaborasi menerusi lagu Gadis Jolobu.

 

Pada malam itu, anak jati Seri Menanti, Negeri Sembilan ini turut menampilkan anak terunanya, Adam Eiman sebagai penyanyi undangan.

Selain menyanyikan lagu solo, Adam berduet dengan Hattan menerusi lagu Gadis Jolobu.

Kali pertama mengadakan konsert solo berskala mega sempena meraikan perjalanan kerjaya seninya selama 35 tahun, Hattan membuktikan yang dirinya sememangnya penghibur hebat.

Meskipun usianya melewati separuh abad, namun, vokal Hattan tetap ‘power’. Tiga jam menyanyi, Hattan tidak goyah, malah, tidak nampak langsung kepenatan.

Malah, sistem bunyi berkualiti menjadi penyumbang mengapa konsert anjuran Mewah Event Management itu menjadi antara konsert yang mesti ditonton, tahun ini.

Seperkara menarik mengenai konsert ini adalah, sepanjang beraksi, Hattan dilihat selesa berkomunikasi menggunakan dialek Negeri Sembilan yang menjadi tanda dagangnya dalam media sosial, sekali gus, membuatkan penonton berasa cukup dekat dengannya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat