KUALA LUMPUR – Tiga orang mahut atau penjaga gajah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah telah ditugaskan untuk menjaga tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Ketiga-tiga mereka termasuklah seorang mahut dari masyarakat orang Asli suku Che Wong iaitu Ali Gadong yang berpengalaman menjaga ketiga-tiga ekor gajah berkenaan sebelum ini.
Ketua PKGK Kuala Gandah Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Abdul Rahman berkata, Ali telah dipilih untuk ke Jepun bersama mahut Suhaimi Ibrahim dan Mohd Faizal Ahmad bagi menguruskan tiga gajah itu di zoo berkenan.
Katanya, ketiga-tiga mereka telah ditugaskan bermula 15 April lalu dan akan berada di sana selama dua bulan dengan kemungkinan tempoh perkhidmatan dilanjutkan bergantung kepada keperluan serta penilaian pihak pengurusan zoo berkenaan.
Beliau berkata, ketiga-tiga mahut itu memberi tumpuan kepada khidmat pengendalian, penjinakan dan kesihatan tiga gajah terbabit
“Ali merupakan mahut utama kepada gajah Kelat berusia 20 tahun dan turut berpengalaman mengendalikan Dara (15 tahun) dan Amoi (10 tahun), menjadikan dia antara individu berpengaruh di PKGK Kuala Gandah.
“Namun di sebalik kejayaan tersebut, timbul polemik di media sosial apabila segelintir netizen mendakwa DAK mengalami tekanan dan penderitaan di zoo berkenaan,” lapor Utusan di Temerloh.
Ku Mohd Zamzuri berkata, dakwaan kononnya DAK berada dalam keadaan tertekan di Zoo Tennoji adalah persepsi tidak berasas yang bercanggah dengan keadaan sebenar.
Beliau berkata, maklumat harian yang diterima termasuk video daripada mahut yang ditempatkan di zoo berkenaan menunjukkan ketiga-tiga gajah tersebut berada dalam keadaan stabil dan semakin menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
“Laporan pemantauan jelas menunjukkan gajah-gajah ini dapat menyesuaikan diri dengan baik dan berada dalam keadaan terkawal tanpa sebarang tanda tekanan seperti yang digambarkan di media sosial,” katanya.
Beliau menegaskan, tafsiran berasaskan video atau gambar semata-mata sering mengelirukan kerana tidak menggambarkan konteks sebenar pengurusan haiwan di negara berkenaan.
Katanya, pihaknya turut memantau keadaan secara berterusan melalui laporan teknikal harian yang dihantar oleh pasukan di lapangan.
“Berdasarkan rekod pemantauan, ketiga-tiga gajah menunjukkan peningkatan berat badan yang konsisten dalam tempoh kurang dua bulan.
“Kelat mencatatkan peningkatan daripada 2,635 kilogram kepada 2,885 kilogram, iaitu pertambahan 250 kilogram. Dara pula meningkat daripada 2,125 kilogram kepada 2,315 kilogram manakala Amoi bertambah daripada 1,415 kilogram kepada 1,520 kilogram,” katanya.
Menurutnya, peningkatan tersebut menjadi indikator penting bahawa haiwan berkenaan berada dalam keadaan sihat dan menerima penjagaan serta pemakanan yang baik.
Beliau turut menjelaskan bahawa tafsiran ‘air mata gajah’ sebagai tanda kesedihan adalah tidak tepat sebaliknya ia fungsi fisiologi biasa untuk membersihkan mata daripada debu.
Tambahnya, tiga ekor gajah itu pada asalnya dari Kuala Gandah sebelum ke Zoo Taiping sebagai sebahagian program pemeliharaan sebelum ditempatkan di Zoo Tennoji.
Dalam pada itu, katanya, kejayaan Ali sebagai mahut Orang Asli daripada komuniti kecil Che Wong yang berpopulasi sekitar 400 orang di Rezab Hidupan Liar Tengku Hassanal menjadi simbol pengiktirafan terhadap ilmu tradisi tempatan.



