KOTA KINABALU – Keputusan pilihan raya India terbaru menunjukkan bagaimana sistem First-Past-the-Post (FPTP) lebih memihak kepada strategi dan kecekapan, bukan sekadar jumlah undi keseluruhan.
Kemenangan bergantung kepada keupayaan menumpukan sokongan di kawasan penting, kata Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Menurut beliau, pilihan raya India juga menunjukkan bahawa kerjasama antara parti nasional dan parti tempatan kini semakin penting dalam sistem FPTP.
Jelas Salleh lagi, pertembungan banyak penjuru hanya memecahkan undi dan melemahkan peluang kemenangan.
“Parti-parti kebangsaan dan tempatan di Malaysia juga wajar mempelajari apa yang berlaku di India.
“Akhirnya, pengundi tetap menjadi penentu utama walaupun dalam sistem FPTP.
“Strategi, kerjasama parti dan kepimpinan penting, namun sokongan rakyat tetap menentukan kemenangan atau kekalahan,” ujar bekas Ketua Menteri Sabah itu.
Kata Salleh, parti nasional seperti Indian National Congress dan Bharatiya Janata Party masih kekal dominan.
“Namun, kejayaan mereka kini banyak ditentukan oleh faktor negeri, isu tempatan dan kerjasama politik.
“Di Kerala, gabungan UDF yang dipimpin Kongres kembali berkuasa dan menamatkan pemerintahan lama pihak kiri. Pada masa sama, BJP mencatat sejarah dengan memenangi beberapa kerusi penting, menunjukkan pengaruh nasional mereka semakin berkembang.
“Di West Bengal pula, BJP berjaya mencabar dominasi lama parti tempatan. Ini membuktikan bahawa parti nasional masih mampu menembusi kubu tradisi jika strategi dan penyusunan dilakukan dengan baik.
“Kemunculan Tamizhaga Vetri Kazhagam di Tamil Nadu memberi dimensi baharu kepada politik India. Parti ini dipimpin oleh Vijay yang mempunyai pengaruh besar sebagai pelakon popular.
“Populariti Vijay memberi pengenalan segera, terutama dalam kalangan pengundi muda. Digabungkan dengan mesej anti-establishment dan isu tempatan, ia berjaya menukar sentimen kepada sokongan politik,” kata beliau.



