Rafizi, James Chai bakal dituduh? – Azam Baki kunci mulut

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan pertuduhan terhadap dua individu berhubung siasatan membabitkan urus niaga pelaburan semikonduktor dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings Plc (ARM) bernilai RM1.1 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini di peringkat akhir melengkapkan kertas siasatan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

“Setakat ini, pihak SPRM sudah merakam keterangan 22 saksi termasuk penganalisis politik, James Chai dan bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.

“Siasatan kini hampir di peringkat akhir. Pada masa ini, hanya tinggal dua lagi saksi yang perlu dirakam keterangan, seorang di Taiwan dan seorang lagi (berada) di dalam negara,” katanya pada sidang media di Putrajaya lapor BH pada Rabu.

Azam bagaimanapun enggan mendedahkan identiti dua individu yang dicadang dikenakan pertuduhan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna kuasa, Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu, serta Seksyen 409 Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah jenayah.

“Kami menjangka kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat. Selepas itu, terpulang kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan sama ada terdapat kes untuk pendakwaan atau sebaliknya.

“Pada peringkat ini, kami sudah mengenal pasti dua individu yang akan dicadangkan untuk didakwa di mahkamah, namun saya tidak mengatakan mereka pasti akan didakwa. Penyiasat boleh mencadangkan pertuduhan jika bukti memenuhi elemen di bawah undang-undang, tetapi keputusan muktamad terletak pada Peguam Negara,” katanya.

Ditanya sama ada dua individu itu ialah James Chai dan Rafizi, Azam sekali lagi enggan mengulas.

Azam berkata, pegawai SPRM memberi tumpuan sepenuhnya untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kes berkenaan.

“Pegawai saya sedang meneliti unsur jenayah. Jika terdapat bukti, terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan lanjut,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat