‘Saya dah cuba nak satukan Search’ – Noordin

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Pemain gitar kumpulan Search, Noordin Mohd Taib tidak menafikan ada pihak kurang senang dengan usahanya untuk meneruskan perjuangan muzik kumpulan rock legenda itu.

Nordin berkata, itu adalah perkara biasa yang terpaksa dilaluinya apabila mengambil keputusan itu.

“Seperti saya pernah cakap sebelum ini, saya sebenarnya tak nak buat perkara ini. Saya sudah 40 tahun bersama Search, takkan saya nak ketepikan yang lain.

“Saya sudah cuba untuk kembali dan satukan Search semula, tapi tak berjaya dan nampak saya pula yang salah.

“Saya tak boleh tunggu lama-lama. Takkan saya nak duduk rumah hanya makan dan tidur kerana nanti nak pegang gitar pun dah tak boleh,” katanya.

Noordin bersama adiknya yang juga pemain gitar utama Search, Kid bekerjasama dengan penyanyi popular Akim Ahmad (penyanyi), Galang (bass) dan Pae (dram) dalam persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim anjuran Playmad Sdn Bhd di Melaka pada 10 April lalu.

Gandingan ini juga akan beraksi lagi dalam Konsert Unplugged Search 40 Years anjuran COF Music yang akan berlangsung pada September nanti.

Menurut Noordin, seperti orang bersukan yang perlukan latihan, begitu juga dengan pemain gitar sepertinya.

“Pendapatan adalah perkara kedua, tapi saya perlu bermain gitar kerana saya sepenuh masa dalam bidang ini. Saya tiada kerja lain. Siapa nak bagi kita rezeki?

“Inilah masalah Search dari dulu lagi dan orang tak tahu. Saya malas nak bebel banyak-banyak. Satu lagi masalah ialah Search tiada pengurusan dan disebabkan inilah berlakunya masalah sekarang,” katanya.

Dalam masa sama, Noordin turut mempertikaikan tindakan Amy yang meninggalkan Search pada Mac tahun lalu selepas 40 tahun bersama.

“Dia tinggalkan Search begitu sahaja. Sepatutnya Amy sokong apa yang kami buat. Contohnya dia dapat tahu kami ada berlatih atau buat sidang media ini, sepatutnya dia datang jumpa kami untuk beri sokongan. Itu yang saya harapkan.

“Saya bukan nak memandai-mandai tapi saya tengok kumpulan di luar negara di mana penyanyinya masih sokong kumpulan itu walaupun dia sudah keluar dan tempatnya digantikan penyanyi lain.

“Samalah seperti Search. Kita kena tukar mentaliti dan terima benda baru. Saya tak nak buat benda (konsert) ini pun tanpa Amy. Seperti saya kata pada Akim, Amy tiada ganti. Dia adalah raja dan berada pada satu tahap yang sukar digugat,” katanya.

Noordin juga kecewa kerana usahanya menghubungi Amy menerusi aplikasi WhatsApp tidak dibalas sehingga sekarang.

“Saya dan Kid juga ada had masa sendiri dan akhirnya kami terpaksa tampil dengan apa yang dibuat sekarang,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai ketiadaan pemain bass, Nasir, Noordin berkata, Nasir kini sibuk dengan perniagaan baharunya dan mungkin akan terbabit dalam persembahan akan datang.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat