Kerajaan Laksana Misi Bawa Pulang Rakyat Malaysia Dari India – Hishammuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan misi repatriasi khusus bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di wilayah utara dan barat India semasa negara itu terus mencatatkan rekod baharu dalam angka kes baharu COVID-19 dan kematian.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata misi yang dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan itu akan menggunakan pesawat sewaan khas dari Malaysia.

“Pesawat itu akan berlepas ke New Delhi dan Mumbai, India dalam masa terdekat sebaik sahaja urusan berkaitan termasuk kelulusan penerbangan daripada Kerajaan India diperolehi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra pada Khamis.

Hishammuddin menegaskan keputusan itu dibuat secara bersama melibatkan pelbagai agensi selain mengambil kira maklumat hasil pemerhatian dan analisa oleh pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di India.

Rakyat Malaysia yang akan dibawa balik termasuk petugas (home based staff) pelbagai agensi serta tanggungan mereka diwajibkan menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas dari India dan sebaik tiba di Malaysia.

“Selain itu, mereka juga wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Hishammuddin berkata rakyat Malaysia di wilayah-wilayah utara dan barat India yang berhasrat menyertai misi itu dinasihatkan agar mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai melalui e-mel [email protected] atau [email protected] selewat-lewatnya pada 5 petang 7 Mei (Jumaat) waktu India.

Beliau turut mengingatkan semua rakyat Malaysia di India khususnya di wilayah utara dan barat agar sentiasa berhubung dengan pihak suruhanjaya tinggi dan konsulat jeneral bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan misi itu atau bagi mendapatkan sebarang bantuan konsular.

Hishammuddin menjelaskan, misi repatriasi itu tidak melibatkan wilayah selatan dan timur India memandangkan situasi di wilayah-wilayah berkenaan masih terkawal.

Tambahnya Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai akan terus memantau situasi di wilayah-wilayah berkenaan dan membuat penilaian berterusan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di sana terus dijaga.

“Misi repatriasi ini merupakan usaha dan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa dilindungi,” katanya.

Hishammuddin berkata misi yang sama pernah dilaksanakan semasa penularan pandemik COVID-19 tahun lepas melibatkan repatriasi rakyat Malaysia dari Wuhan, China, Iran dan Itali.

India mencatatkan rekod baharu dunia pada Khamis selepas mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan kes dalam sehari, iaitu lebih 412,000 dalam tempoh 24 jam.

Kementerian Kesihatan India melaporkan 412,262 kes baharu, membawa jumlah jangkitan melebihi 21 juta. Bersama kematian baharu rekod sebanyak 3,980, jumlah kematian kini mencapai 230,168. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat