KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan sementara perintah Mahkamah Tinggi berhubung pelaksanaan semakan kelayakan Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan, membenarkan permohonan itu selepas mendapati Kerajaan Persekutuan akan diprejudiskan jika penangguhan berkenaan tidak diberikan.
Dua lagi panel hakim ialah Datuk Ismail Brahim dan K Muniandy, menurut BH pada Isnin.
Pada 17 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan bertindak menyalahi undang-undang dan melampaui kuasa perlembagaannya kerana gagal menunaikan hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil Persekutuan bagi tempoh berkenaan.
Mahkamah Tinggi itu turut mengarahkan kedua-dua kerajaan melengkapkan semakan dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan muktamad dalam tempoh 180 hari susulan semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).



