KUALA LUMPUR – Pengakuan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki sendiri bahawa wujudnya “mafia korporat” yang menggunakan struktur sah untuk mengaburi penguat kuasa sebenarnya bukan sekadar satu pendedahan tetapi merupakan satu pengakuan terbuka bahawa sistem sedia ada telah ditembusi dari dalam.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari berkata, apabila jenayah tidak lagi bergerak secara terang-terangan tetapi berselindung di sebalik syarikat berdaftar, khidmat profesional dan jaringan dalaman agensi, maka ini bukan lagi isu terpencil melibatkan individu tertentu sebaliknya satu masalah yang bersifat sistemik dan berakar dalam struktur pentadbiran negara.
Tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, pengakuan ini membawa implikasi yang sangat besar kerana ia menimbulkan persoalan asas tentang tahap keberkesanan penguatkuasaan serta integriti institusi yang sepatutnya menjaga undang-undang.
“Jika benar wujud satu ekosistem jenayah yang tersusun dan mampu memanipulasi struktur korporat serta sistem sedia ada, maka persoalan yang tidak dapat dielakkan ialah sejauh mana pengaruh mereka telah meresap ke dalam institusi negara dan siapa sebenarnya yang melindungi operasi ini sehingga ia mampu berfungsi tanpa dibanteras secara tuntas.
“Dalam keadaan sebegini, adalah tidak munasabah untuk mengharapkan siasatan biasa mampu merungkai keseluruhan jaringan yang kompleks ini kerana mana-mana agensi yang berada dalam sistem yang sama berpotensi terdedah kepada konflik kepentingan atau keterbatasan kuasa.
“Rakyat juga tidak akan mempunyai keyakinan sekiranya siasatan dijalankan oleh pihak yang sendiri mengakui bahawa sistem tersebut telah dimanipulasi.
“Justeru, satu mekanisme yang benar-benar bebas, berautoriti dan telus perlu diwujudkan bagi memastikan siasatan dilakukan tanpa sebarang campur tangan dan mampu menelusuri hingga ke akar permasalahan,” katanya.
Menurut Fadhli, di sinilah keperluan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja menjadi sangat jelas dan tidak boleh dipertikaikan lagi.
“RCI mempunyai kedudukan yang lebih bebas daripada struktur pentadbiran biasa serta kuasa yang lebih luas untuk memanggil saksi, meneliti bukti dan membongkar rangkaian yang mungkin melibatkan pelbagai lapisan kuasa.
“Lebih penting, ia memberi jaminan ketelusan kepada rakyat bahawa siasatan yang dijalankan bukan sekadar untuk menenangkan keadaan tetapi benar-benar bertujuan mencari kebenaran dan menegakkan keadilan.
“Hakikatnya, pengakuan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sendiri telah melepasi tahap syak wasangka atau tuduhan politik kerana ia datang daripada individu paling berautoriti dalam badan pencegahan rasuah negara.
“Ini bermakna asas untuk menubuhkan RCI bukan lagi bersandarkan kepada tekanan luar atau persepsi semata-mata tetapi berpaksikan kepada pengesahan dalaman bahawa wujud ancaman serius terhadap sistem negara,” tegas beliau.
Kata Fadhli lagi, sekiranya selepas pengakuan sebesar ini kerajaan masih tidak mengambil langkah untuk menubuhkan RCI, maka ia akan menimbulkan persepsi bahawa wujud keengganan untuk mendedahkan kebenaran sepenuhnya atau lebih membimbangkan terdapat pihak tertentu yang berkepentingan untuk memastikan perkara ini tidak disiasat secara menyeluruh.
“Dalam konteks ini, penubuhan RCI bukan lagi satu pilihan politik tetapi satu keperluan mendesak demi memulihkan keyakinan rakyat, mempertahankan integriti institusi dan memastikan bahawa negara tidak terus dikuasai oleh jaringan mafia korporat yang beroperasi di sebalik struktur yang sah,” ujarnya.
Azam sebelum ini dilaporkan berkata, kegiatan mafia korporat di negara ini dilihat semakin tersusun dan sukar dikesan apabila sindiket berkenaan menggunakan struktur perniagaan yang sah bagi mengaburi pihak penguat kuasa.
Jelas beliau, jenayah yang berlaku ketika ini bukan lagi bersifat konvensional, sebaliknya melibatkan satu ekosistem terancang yang didalangi rangkaian profesional dan pihak berkepentingan.
“Kita perlu melihat realiti hari ini dengan jelas, apa yang kita hadapi bukan lagi jenayah biasa tetapi satu ekosistem jenayah terancang yang digerakkan mafia korporat,” katanya.
Menurut beliau, sindiket tersebut bukan sahaja melindungi aktiviti haram, malah memanipulasi struktur korporat dan sistem sedia ada untuk memastikan kegiatan mereka terus berjalan tanpa dikesan.
“Mereka menggunakan akauntan, peguam, perunding dan juga orang dalam agensi tertentu untuk melindungi operasi mereka termasuk membersihkan wang haram,” katanya.



