MUAR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal memilih pada 12 Mac ini akan menentukan parti mana yang akan menjadi ‘itik patah kaki,” kata Presiden UMNO.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menempelak Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini pernah menggelar UMNO seperti itik patah kaki dan parti yang sudah ‘lumpuh’ dan berpenyakit kerana sudah terlalu lama memerintah.

Zahid bagaimanapun mengingatkan Abdul Hadi bahawa 12 Mac ini akan menjadi hari penentu nasib UMNO dan juga PAS.

“Bila satu jari ini menuding ke arah orang, empat jari tuding arah kita. Itulah yang pak lebai lebai tu tak tahu kata kita itik patah kaki lah.

“… yang kata kita begitu sama ada itik patah kaki atau inilah penghujung dan akhir hayat parti kita, kita buktikan 12 Mac nanti.

“Siapa itik patah kaki, siapa penghujung hayat? Nak sindir, sindirlah,” bidas Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam ceramahnya di DUN Maharani pada Ahad.

Tambah Zahid, sekiranya beliau ditempat Abdul Hadi sebagai seorang guru agama beliau tidak akan bercakap dan mengkritik parti lain sedemikian.

“Kalau saya jadi guru agama, saya akan bersikap sebagai guru agama walaupun saya politik. Gunakan bahasa berakhlak, cara tasawuf.

“Berbeza pendapat boleh tapi ada adab, ada adab untuk menangani perbezaan pendapat. Ini hentam saja, bila kita jawab dia kata kita kurang ajar, eh dia kurang ajar lebih daripada itu.

“UMNO dan BN bukan kurang ajar, kita hormat orang lain, kita beza pendapat tetapi kita ada batas-batas untuk menghormati perbezaan,” tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Ujar beliau lagi, Johor pernah menjadi negeri simpanan tetap UMNO.

“Oleh yang demikian, isu-isu yang timbul di luar sama ada parti-parti yang bertanding berapa penjuru sekali pun itu biasa.

“Isu yang pelbagai, tak apa, tetapi UMNO tidak pernah memburukkan yang lain. Kita cerita yang baik tentang diri kita, tak perlu cerita buruk tentang orang lain tapi jangan sentuh kita, kita wajib jawab.

“Ini maruah UMNO, maruah BN. Jangan ingat dia bercakap kita jadi budak bodoh. Kita mesti jawab, jawab dengan akhlak dan adab,” katanya.

Pada 28 Januari lalu Abdul Hadi mengumpamakan UMNO seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

Juga pada 5 Mac, Presiden PAS itu ada menyebut UMNO dan BN kini diibaratkan sudah ‘lumpuh’ sebaliknya rakyat Johor diseru untuk memilih Perikatan Nasional (PN).

Kata beliau lagu UMNO dan BN yang tumbang pada PRU-14 perlu direhatkan kerana ditimpa pelbagai penyakit disebabkan terlalu lama memerintah negara.