KUALA LUMPUR – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertinggi, susulan daripada laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tindakan ini diambil berdasarkan penemuan dan syor berkaitan pengurusan ‘levi tidak digunakan’, pemerolehan Menara Ikhlas serta pengurusan pelaburan ekuiti HRD Corp.
Ia juga merangkumi penemuan terkini berhubung Sistem Teras Baharu (NCS) bernilai RM14 juta yang tertangguh lebih empat tahun selepas tiga kegagalan Ujian Penerimaan Pengguna (UAT), lapor MalaysiaGazette pada Jumaat.
Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shamir Aziz menegaskan, langkah pemulihan dan pengukuhan tadbir urus ini selaras dengan aspirasi Menteri Sumber Manusia Ramanan Ramakrishnan, yang menekankan standard integriti, ketelusan dan akauntabiliti lebih tinggi dalam institusi tenaga kerja.
“Ini bagi memastikan pengurusan HRD Corp menghasilkan impak positif kepada majikan serta tenaga kerja negara, sejajar dengan semangat ‘Madani Bekerja’,” katanya sambal menegaskan syarikat itu akan melaksanakan siasatan dalaman yang telus dan berintegriti dengan mandat, skop serta terma rujukan yang jelas.
Proses ini, jelas beliau. merangkumi semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat dan jejak audit berkaitan, selain pengambilan keterangan serta pengesahan fakta daripada pegawai terlibat, tertakluk kepada prinsip keadilan asasi dan keperluan kerahsiaan siasatan,” katanya.
Untuk rekod, dalam minggu pertama pelantikan Ketua Eksekutif baharu, HRD Corp berjaya memperoleh penyelesaian kira-kira 18% daripada portfolio pelaburan berstruktur yang tertunggak, bersama pulangan berjumlah RM151.8 juta.
Usaha ini membuktikan pemulihan pantas telah dilakukan selain dapat memastikan pelaburan yang dibuat oleh HRD Corp lebih terjamin dan dilindungi, lapor portal itu.
Selain itu, bagi memastikan tadbir urus dan pemantauan yang lebih kukuh, pelaksanaan program latihan yang diluluskan hanya boleh dijalankan selepas tempoh minimum 21 hari hingga tiga bulan daripada tarikh kelulusan.
Menurut HRD Corp, tempoh ini memberi masa yang cukup kepada majikan dan penyedia latihan untuk membuat perancangan rapi termasuk tempahan lokasi, pendaftaran peserta dan penyelarasan logistik.
Pada masa ini, tiada pemantauan yang sistematik terhadap program latihan yang diluluskan telah melemahkan kawalan dan pengawasan tadbir urus.
“Terdapat juga kes di mana latihan dilaksanakan sebelum kelulusan diperoleh, dengan permohonan geran dikemukakan hanya selepas latihan selesai.
“Bagi menangani isu ini, HRD Corp akan memperkukuh rangka kerja pemantauan dan penguatkuasaan secara berperingkat dengan menempatkan pegawai di lapangan untuk menyelia pelaksanaan latihan,” ujarnya.
HRD Corp yakin penambahbaikan yang dibuat ini akan memperkukuh pematuhan, akauntabiliti dan tadbir urus yang lebih baik selari dengan aspirasi Malaysia Madani khususnya teras Kesejahteraan, Keadilan Sosial, Keberdayaan dan Ihsan dalam memastikan manfaat pembangunan negara dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat dan industri.



