KUALA LUMPUR — Keselamatan internet kini menjadi antara cabaran utama masyarakat moden apabila penggunaannya yang semakin meluas bukan sahaja memberi manfaat, malah turut membawa risiko yang memerlukan perhatian serius daripada keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
Sehubungan itu, Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 akan berlangsung pada 8 Februari 2026 bertempat di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, sebagai platform kesedaran awam yang menghimpunkan perbincangan mengenai kanak-kanak, kecerdasan buatan (AI), penipuan dalam talian serta tanggungjawab digital dalam suasana santai dan mudah difahami.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu akan mengetengahkan pendekatan edutainment, dengan pengisian yang disesuaikan untuk ibu bapa, remaja, pelajar serta keluarga, bagi memastikan mesej keselamatan digital dapat disampaikan secara inklusif dan dekat dengan rakyat.
Penganjuran HKI 2026 dilihat relevan ketika kanak-kanak kini semakin awal terdedah kepada internet dan teknologi AI, manakala kes penipuan serta scam dalam talian pula menjadi semakin kompleks dan sukar dikesan.
Pada masa sama, masih ramai pengguna yang kurang menyedari risiko harian yang wujud melalui penggunaan peranti mudah alih. Berbeza daripada pendekatan berbentuk amaran semata-mata, HKI 2026 memberi penekanan kepada pembentukan sikap dan peningkatan tahap kesedaran pengguna agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi digital.
Bertemakan “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat”, sambutan HKI 2026 menekankan kepentingan penggunaan teknologi dan AI secara selamat, beretika dan bertanggungjawab, selaras dengan realiti dunia digital masa kini.
Antara tarikan utama untuk liputan media termasuk sesi perbincangan ringkas tanpa bahasa teknikal, aktiviti interaktif dan pameran keselamatan digital, program komuniti dan kekeluargaan serta kandungan mesra visual yang sesuai untuk platform media sosial.
Pendekatan yang diketengahkan juga menumpukan kepada kesedaran tanpa unsur sensasi.
HKI 2026 dijangka menjadi platform nasional yang penting dalam usaha membentuk budaya penggunaan internet yang lebih selamat, sedar dan bertanggungjawab dalam kalangan rakyat Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 boleh didapati menerusi laman web rasmi MCMC.



