KUALA LUMPUR – Pemuda Pas membangkitkan persoalan kepada kerajan terutama Kementerian Pendidikan (KPM) di manakah data atau projek rintis bagi membuktikan keberhasilan dasar kemasukan darjah 1 pada usia 6 tahun ini berjaya dilaksanakan dalam negara kita pada masa sekarang?
Menurut Pemuda Pas, jika tiada, buat dulu, buktikan dengan data dan fakta bahawa dasar ini benar-benar bersedia untuk dilaksanakan pada tahun 2027.
Paling penting kata sayap muda Pas itu ialah, jangan jadi kerajaan syok sendiri, umum dulu baru nak kaji.
“Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sering menyatakan bahawa terdapat kajian serta data empirikal yang menyokong dasar ini, namun perincian berkaitan kajian tersebut tidak pernah dijelaskan secara jelas dan menyeluruh.
“Inilah perkara yang dipersoalkan, termasuk sejauh mana tahap kebolehpercayaan kajian berkenaan mencukupi untuk membolehkan dasar ini dilaksanakan dalam tempoh setahun akan datang.
“Apa yang Menteri nyatakan hanyalah KPM sudah buat persediaan yang rapi untuk melaksanakan dasar ini, tetapi dalam masa yang sama isu kepadatan sekolah masih belum diselesaikan secara berkesan dan tuntas,” katanya.
Sehubungan itu Pemuda Pas berkata, bagi menilai sejauh mana permasalahan yang dibangkitkan ini tidak menjejaskan pelaksanaan dasar berkenaan, satu projek rintis wajar dilaksanakan terlebih dahulu.
Katanya, projek tersebut dicadangkan untuk dilaksanakan di sebuah sekolah yang mempunyai bilangan murid paling ramai serta sebuah sekolah di kawasan luar bandar, bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh dan seimbang.
“Sebagai contoh, sekiranya Sekolah A dipilih sebagai sampel dan sekolah tersebut telah mengalami tahap kepadatan yang tinggi sehingga tidak lagi mampu menampung kemasukan murid baharu, keadaan ini perlu dibandingkan pula dengan Sekolah B yang terletak berhampiran.
“Jika Sekolah B turut menghadapi masalah kepadatan yang sama seperti Sekolah A, maka persoalan yang timbul ialah apakah jalan penyelesaian sebenar yang dirangka oleh kerajaan bagi menangani isu tersebut, selain daripada pembinaan sekolah baharu secara IBS, penambahan bilangan guru, serta pelaksanaan sistem persekolahan dua sesi.
“Kedua, pemilihan sekolah luar bandar sebagai salah satu sampel projek rintis adalah penting bagi menilai bilangan sebenar kanak-kanak luar bandar yang bakal memasuki Darjah 1 pada usia enam tahun. Langkah ini bertujuan memastikan golongan ini tidak terpinggir dalam pelaksanaan dasar baharu tersebut.
“Bayangkan jika kerajaan masih meneruskan untuk melaksanakan ujian diagnostik untuk kemasukan darjah 1 semasa umur enam tahun, lebih ramai anak-anak luar bandar akan tercicir,” katanya.



