KUALA LUMPUR- Mana-mana Perdana Menteri boleh memegang jawatan itu selama mana sekali pun, jika mempamerkan prestasi baik, kata Menteri Besar Kedah.
Menurut Datuk Seri Sanusi Md Nor, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal mempunyai pro dan kontra namun isu utama bukan terletak pada tempoh masa tetapi prestasi kepimpinan.
“Kalau prestasi PM (Perdana Menteri) bagus, berapa penggal pun tak mengapa, sehingga 10 tahun, 10 penggal pun tak ada masalah.
“(Tapi) Kalau prestasi PM itu tidak bagus, tak payah tunggu habis satu penggal,” ujar Adun Jeneri.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.
RUU itu merupakan antara empat perundangan baharu yang akan dibentangkan sebagai hala tuju Parlimen tahun ini yang turut melibatkan semua jawatan utama termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) juga tidak melebihi 10 tahun.
Menurut Sanusi, had penggal boleh merugikan negara sekiranya seorang pemimpin yang dilantik pada usia muda terbukti cemerlang tetapi tidak boleh dilantik semula hanya kerana kekangan perundangan tersebut.
“Kalau ada pemimpin muda dilantik sebagai PM pada umur 40 tahun dan prestasi bagus untuk rakyat dan negara, kita pula yang rugi bila dihadkan sebab dia tidak boleh dilantik semula,” katanya.
Katanya, Anwar yang kini berusia 79 tahun mungkin sesuai dihadkan kepada dua penggal kerana jika dilantik bagi penggal berikutnya, usia beliau akan mencecah sekitar 85 atau 86 tahun pada penghujung tempoh tersebut.
“Anwar umur 79 tahun sekarang, sesuai hadkan kepada dua penggal sebab kalau jadi PM kali kedua, umur cecah 86 pada hujung penggal. Isunya di sini, bukan pada tempoh masa tetapi prestasi,” ulas Sanusi.



