Budaya ye-ye kalangan tentera hanya isu terpencil – Panglima Tentera Darat

KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Azhan Md Othman menegaskan Tentera Darat Malaysia mampu mengelola keadaan melibatkan isu yang sedang tular di media sosial yang didakwa melibatkan pegawai tentera.

Azhan turut berpendapat isu tersebut kemungkinan berlaku dalam skala kecil ataupun terpencil dan menegaskan anggota perlu bersatu teguh memastikan keselamatan negara.

“Kepada semua anggota- anggota Tentera Darat, saya mohon semua bertenang.

“Saya percaya keadaan ini boleh dikawal. Apa yang berlaku mungkin melibatkan perkara-perkara terpencil, namun kita perlu kekal bersatu dan memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin,” katanya selepas acara kawalan kehormatan utama Panglima Tentera Darat ke-31 di Dataran Wisma Pertahanan, lapor Astro Awani pada Selasa.

Pada Isnin, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memandang serius dakwaan tular di media sosial berhubung kemasukan individu yang tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral yang didakwa berlaku di dalam kem tentera.

Kementerian turut memaklumkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman secara segera dan menyeluruh bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan.

Menurut kementerian, dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai serta amalan sebenar ATM yang selama ini berteraskan disiplin tinggi, profesionalisme dan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.

Dalam pada itu, Azhan menyifatkan pelantikan sebagai PTD merupakan satu amanah besar memandangkan tentera darat adalah organisasi terbesar dalam ATM.

“Fokus utama adalah kepada penambahbaikan berterusan selaras dengan pelaksanaan Angkatan Masa Hadapan 2030 yang kini memasuki fasa permulaan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat