Gelombang Banjir Boleh Berulang Walaupun Cuaca Semakin Baik – MetMalaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mangsa banjir yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut, mungkin akan kembali ke pusat pemindahan sementara (PPS), berikutan terdapat risiko berlakunya kejadian gelombang banjir berulang, ketika monsun timur laut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata kejadian banjir juga mungkin berlaku sekali lagi, sepanjang musim tengkujuh ini, walaupun cuaca semakin baik, sejak Isnin.

“Terdapat kemungkinan berlaku hujan lebat di Kelantan dan Terengganu pada 8 dan 9 Jan,” katanya ketika menjadi tetamu program terbitan Bernama TV, “Ruang Bicara bertajuk Monsun Timur Laut 2021: Peka dan Waspada” yang disiarkan secara langsung, pada Selasa malam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Norhafifi Ismail menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan pergerakan ketika musim tengkujuh.

“Pada musim tengkujuh, terdapat kemungkinan berlaku banjir, tanah runtuh, jalan putus yang boleh menyebabkan pengguna jalan raya terkandas. Keadaan akan menjadi lebih teruk jika pengguna jalan raya tidak membawa bekalan makanan dan minuman dalam perjalanan,” katanya.

Norhafifi berkata langkah mengurangkan pergerakan adalah bersesuaian dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya orang ramai tidak keluar rumah bagi perkara yang tidak mustahak untuk membendung penularan COVID-19.

Sehingga malam ini, keadaan banjir yang melanda Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Johor, beransur pulih dengan jumlah mangsa dipindah ke PPS semakin berkurangan. Bagaimanapun jumlah mangsa banjir di PPS di Pahang merekodkan sedikit peningkatan iaitu 18,217 orang mangsa pada malam ini berbanding 17,747 orang siang tadi.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat