KUALA LUMPUR- Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah tonggak kekuatan PAS dan Perikatan Nasional (PN) malah beliau dikatakan magnet utama dengan daya tarikan politik yang kuat dan akan terus membesar.
Demikian ulasan Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa menggambarkan ketokohan Hadi bagi tujuan menyanggah saranan Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.
“Rumah sudah,pahat masih berbunyi. Pelbagai ulasan menelusuri kejayaan cemerlang PAS di PRK Kemaman 2 disember lalu. Antara yang menarik perhatian saya ialah coretan veteren dan “mastermind” DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang sekali lagi memperagakan kegemaran dan kepakarannya menghiris halus sesiapa yang dimusuhinya melalui tikaman tikaman tersirat.
“Kini beliau membuat provokasi halus agar ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggantikan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS.
“Kit Siang tahu Hadi adalah tonggak kekuatan PAS dan PN. Hadi adalah magnet utama dengan daya tarikan politik yang kuatdan akan terus membesar.
“Hadi telah membuktikan keupayaan politiknya sehingga DAP dan fahamannya cukup terancam dan tertekan,terutama dalam usaha DAP mengelabui mata politik orang Melayu,” katanya.
Annuar berkata, serangan serangan tajam dan padu Hadi terhadap DAP sangat merisaukan DAP.
“Kegagalan Umno yang dijinakkan DAP untuk menghalang kemaraan PAS cukup menakutkan Kit Siang dan DAP.
“Namun, strategi dan DAP sudah dapat kita hidu dari awal dan mereka tidak akan berjaya. Kita mempunyai alasan kita sendiri apabila PAS memutuskan untuk mencalonkan Samsuri.
“Malah PAS menganalisa setiap perkembangan politik tanah air dan tampil kehadapan menongkah arus perdana politik dengan penuh istiqamah dan keyakinan.PAS tidak pernah berhenti daripada proses merekayasa politiknya dengan mengikuti fiq siasah dan panduan Islam yang sentiasa menjadi pegangan PAS.
“Dengan Umno dikembirikan DAP tentulah PAS lebih bersiap siaga memimpin politik orang Melayu dan ummah.PAS mampu melakukannya,dan PAS adalah untuk semua,” katanya.
Tambah Annuar, Kit Siang dan DAP mungkin berjaya kembirikan Umno tapi Insya-Allah mereka tidak akan berjaya melakukannya terhadap PAS.
“Bagi mereka yang masak dan mengenali cara politik Kit Siang,mereka pastinya dapat membaca mantik setiap hujahan dan tulisan beliau yang lazim diutarakan mengikut “timing” dan nawaitu tertentu.
“Setelah Umno berjaya mereka jinak dan kembirikan,diperhatikan terjahan Kit Siang kini sangat tertumpu pada PAS,sebuah parti politik yang sangat kuat didokong orang Melayu ketika ini.
“Orang Melayu yang bersatu padu adalah igauan buruk buat DAP.Mereka mungkin berjaya memecahkan Muafakat Umno-PAS yang mereka gelarkan Taliban,namun kini mereka dihantui igauan baru iaitu kemunculan PAS sebagai payong besar perpaduan Melayu dan ummah.
“Menjelang hari mengundi Kit Siang tak semena-mena mengeluarkan kenyataan Impian Malaysian yang antara lain kononnya Perlembagaan tidak menghalang orang Cina menjadi Perdana Menteri satu hari nanti.
“Secara halus Kit Siang mengenengahkan gagasan Malaysian Malaysianya,dengan harapan meningkatkan sentimen pengundi cina,” bidas bekas Setiausaha Agung Umno itu.