KUALA LUMPUR -Peguam kepada Datuk Seri Najib Razak Datuk Hasnal Rezua Merican mendakwa tiada nama Jho Low dan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Terence Geh serta bekas CEO syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil dalam senarai notis merah (red notice) Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol).
Justeru katanya, tiada usaha dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengesan tiga individu utama dikaitkan dengan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Bank (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Sedangkan kata Hasnal, Jho Low adalah satu-satunya individu utama yang berupaya menghubungkan semua perkaitan dengan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Bank (1MDB) melibatkan Najib.
Dalam podcast Jam Kesebelas, Hasnal memberitahu Jho Low bukan ‘completely ghosting’ bahkan melantik peguam bela untuk mewakilinya dalam kes mahkamah menentang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Jho Low ialah satu orang yang akan berupaya masukkan – put all the pieces together -tanpa Jho Low kamu tak boleh kaitkan ini dengan ini bank, tak boleh kaitkan dengan Arab Saudi.
“Kalau betul-betul pendakwaan yang kemas tentang kes ini, Jho Low itu mesti ditampilkan sebagai saksi pendakwaan atau tertuduh.
“Jho Low bukan completely ghosting- dia ada- dia disaman oleh LHDN untuk tahun taksiran 2013, 2014, 2016 dia lantik peguam Malaysia -dua orang peguam yang membela dia itu adalah bekas boss saya yang membawa kes sampai habis.
“Dia bukan lari daripada undang-undang dia berdepan dengan undang-undang dia boleh lawan kes dengan LHDN mengatakan pada tahun-tahun taksiran itu dia bukanlah penduduk Malaysia jadi dia tak patut kena dakwa.
“Bukan cuma itu, dia juga menyara, menyeludup Jasmine Loo Ai Swan (peguam 1MDB) masuk ke dari China masuk ke Myanmar tinggal dengan saraan yang dibiayai oleh Jho Low- saraan bulanan dan kemudian Jasmine Loo ni balik ke Malaysia jadi saksi terakhir beri keterangan dan dia mengatakan bahawa dia berhubung dengan Jho Low sampai masa dia nak balik Malaysia masih berhubung dengan Jho Low- so masih boleh disiasat, dicari.
“Bila penghujahan Tan Sri Shafee Abdullah buka rekod Malaysia punya Interpol red notice yang kita keluarkan kepada orang yang masih dalam buruan dan pencarian tak ada nama Jho Low ni, Nik Faisal pun tak ada, Terence pun tak ada, (tapi) Sirul Azhar client saya masih ada walaupun dia dah jadi orang bebas di Australia.
“Tak cari, tak jumpa,” kata Hasnal.



