KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, bakal dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan selepas bersara pada 11 November ini.
Menurut portal berita FMT, pelantikan Ahmad Terrirudin telah dipersetujui oleh mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Julai lalu bersama dengan pelantikan hakim-hakim lain.
Terrirudin dilantik sebagai peguam negara pada 6 September tahun lalu, bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun namun kini menjadi antara antara pemegang jawatan Peguam Negara yang tersingkat dalam sejarah negara.
Antara kontroversi terbesar sepanjang kerjayanya ialah keputusan Pejabat Peguam Negara menggunakan kuasa di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Subseksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk menghentikan perbicaraan ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah berada di peringkat membela diri.
Pada 4 September 2023, dalam satu langkah kontroversi, Pejabat Peguam Negara yang ketika itu kendalikan oleh Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin, berikutan percutian sebelum bersara Idrus Harun, telah memohon kepada mahkamah agar Timbalan Perdana Menteri yang sedang membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akal Budi dihentikan dan Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan.
Keputusan ini menimbulkan kritikan keras dari pelbagai pihak sehingga memaksa Terrirudin kemudiannya tampil memberi 11 alasan mengapa pejabatnya menghentikan pendakwaan.
Bagi sebahagian orang pelantikan ini mengulangi sejarah pelantikan Tan Sri Mokhtar Abdullah yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan selepas menamatkan perkhidmatannya pada 2001.
Ketika itu sebahagian pemimpin politik menyifatkan pelantikan Mokhtar Abdullah adalah ‘hadiah’ berikutan pendakwaan kes liwat dan salah guna kuasa yang melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Justeru tidak hairan pelantikan Terrirudin juga akan dilihat sebagai ‘hadiah’ atas pembebasan Timbalan Perdana Menteri.
Bagaimanapun dari segi kelayakan, Terrirudin memenuhi keperluan dan merit seperti mana yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan tatacara pelantikan hakim mahkamah persekutuan.
Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 April 1968, Ahmad Terrirudin, pernah bertugas sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik Peguam Cara Negara pada 25 Mac 2022.
Beliau berkahwin dengan Datin Zarina Idris dan dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB Hon) dari Universiti Malaya pada 1992 itu juga pernah menjawat jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah pada 2019.
Sebelum itu, beliau adalah Timbalan Ketua Bahagian Guaman III, Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara pada 2017.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 2008 dan 2007.
Ahmad Terrirudin yang memulakan perkhidmatannya sebagai pegawai undang-undang (kehakiman) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2007 dan sebelum itu, beliau adalah pegawai khas kepada Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada 2003.
Beliau dijangka menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di Istana Negara pada 12 Nov nanti.-SuaraTV