KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengemukakan surat tuntutan kepada kerajaan supaya membayar ganti rugi RM1.3 juta berhubung dakwaan penyalahgunaan dan pelanggaran harta intelek bagi Program Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri ‘Madani 1 sehingga Madani 9999.
Pengarah Program Ilham Madani Sdn Bhd, Hasan Azhari Hashim, mengemukakan surat tuntutan itu (LOD) melalui serahan tangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan melalui firma guaman Raj & Sach semalam.
LOD itu menyatakan Hasan Azhari pemilik sah karya hak cipta ‘Kertas Kerja Mewujudkan Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri Madani 1 Sehingga Madani 9999 Untuk Didaftarkan Di Malaysia’ yang didaftarkan secara sah ke dalam Daftar Hak Cipta mengikut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987.
Ia menyatakan beliau adalah pemunya dan pencipta kepada hak cipta itu di bawah No Pemberitahuan: CRYL2023J00697 daftar berkenaan.
“Melalui surat bertarikh 27 Februari 2023 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (surat cadangan pertama), anak guam kami memohon suatu kerjasama dengan agensi kerajaan untuk penjualan nombor plat khas ‘MADANI 1-9999’ berdasarkan Karya Hak Cipta itu.
“Pada atau sekitar 14 April 2023, JPJ mengeluarkan kenyataan bahawa jabatan itu tidak mengeluarkan nombor pendaftaran siri MADANI dan menasihatkan orang ramai tidak percaya kepada berita palsu.
“Pada atau sekitar 4 Ogos 2023, anak guam kami menyatakan hasrat dan permohonan yang sama melalui surat kepada Perdana Menteri (surat cadangan kedua), yang diterima Pejabat Perdana Menteri pada 26 September 2023.
“Seterusnya, pada atau sekitar 25 Oktober 2023, anak guam kami menyatakan cadangan dan permohonan yang sama melalui surat kepada Perdana Menteri (surat cadangan ketiga) yang diterima Pejabat Perdana Menteri,” kata surat itu, lapor BH pada Selasa.
LOD itu berkata, Hasan Azhari menerima surat pada 6 Februari lalu yang memaklumkan cadangan itu sedang diteliti, namun ia tidak dapat dipertimbangkan atas alasan ketetapan sedia ada yang tidak lagi membenarkan pengeluaran Nombor Pendaftaran Khas (NPK) kepada pihak syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain entiti selain JPJ.
Bagaimanapun, melalui poster JPJ pada atau sekitar bulan lalu, ahli perniagaan itu mengetahui JPJ mengeluarkan Notis Awam Nombor Pendaftaran Istimewa Siri MADANI dengan harga bidaan minimum bermula RM100.
“Oleh itu, perkara ini bercanggah dengan makluman melalui surat bertarikh 31 Oktober dan 6 Februari yang seterusnya mengguna pakai idea Karya Hak Cipta anak guam kami secara tidak sah, yang juga pelanggaran jelas terhadap hak cipta beliau.
“Anak guam kami mendapati ia melanggar hak intelek dengan menggunakan, menyalin, mengedar dan mengubah tanpa kebenaran Karya Hak Cipta itu dengan menjual nombor pendaftaran khas kenderaan ‘MADANI 1-9999,’ kata LOD itu.
Sehubungan itu, ahli perniagaan terbabit menuntut JPJ dan Kementerian Pengangkutan membayar pampasan yang tidak dinyatakan jumlahnya bagi kerugian ditanggung akibat pelanggaran karya dan hak cipta itu.
Turut dituntut, ganti rugi RM1.3 juta iaitu separuh daripada hasil penjualan nombor plat khas MADANI dalam masa tujuh hari daripada tarikh penerimaan LOD berkenaan.
Jika gagal berbuat demikian, beliau mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang untuk menuntut jumlah ganti rugi terbabit.
Pada 24 Oktober lalu, media melaporkan harga keseluruhan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI ditutup dengan kutipan sebanyak RM2.6 juta.