Majukan Orang Asli, Tingkat Pendapatan Rakyat Bera Fokus Ismail Sabri

- Advertisement -

BERA – Penyandang Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menumpukan perhatian lebih kepada pembangunan Orang Asli di Bera dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat sekiranya pengundi memberi mandat sekali lagi kepada beliau.

Perdana Menteri itu berkata, meskipun Orang Asli di Bera jauh lebih maju berbanding etnik itu di kawasan lain namun masih banyak sentuhan perubahan yang akan dibawa beliau.

“Bera bukan bandaraya seperti Kuala Lumpur, banyak lagi pembangunan boleh dibuat.

“Misalnya pembangunan di perkampungan Orang Asli, meski Orang Asli Bera jauh lebih maju daripada tempat lain.

“Tapi ada kawasan kampung yang terpencil dan tak boleh dimajukan kerana terlalu ‘remote’ tapi kita kena majukan,” katanya pada sidang media selepas penamaan calon pada Sabtu.

Ismail Sabri memberitahu sekiranya diberi peluang sekali lagi pada pilihan raya umum kali ini beliau akan berusaha memajukan infrastruktur buat etnik Orang Asli, termasuk meningkatkan pendapatan penduduk keseluruhan di Bera terutamanya penoreh getah melalui program Risda.

Dalam pada itu, meskipun menang sejak 2004 di Bera Ismail Sabri masih tidak selesa dan akan terus bekerja keras menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Tidak ada lagi istilah ‘easy win’ di mana-mana. Jadi kita tak boleh kata selesa.

“Setiap calon ada kekuatan masing-masing.
Walaupun saya kata saya yakin menang di Bera tapi jentera saya tak boleh mengambil
mudah terhadap calon pencabar. Kita mesti bekerja terus sampai pengumuman dibuat pada malam 19 November,” tegas beliau.

Bagaimanapun Ismail Sabri menyatakan fokus utamanya ialah memenangkan Parlimen Bera terlebih dahulu sebelum memikirkan soal Perdana Menteri.

“Saya kena fokus kepada pilihan raya ini dulu, saya mesti menangkan Parlimen Bera dulu. Baru fikir pasal Perdana Menteri lepas menang pilihan raya. Itu perkara pertama saya kena lakukan dulu kemudian baru fikir berkenaan Perdana Menteri.

“Lepas menang pilihan raya, kita ada pemilihan parti pula. Fokus sekarang ialah menang di Bera.

“Fokus sekarang adalah untuk menang PRU. Saya menang di Bera dan parti BN menang dan boleh membentuk kerajaan itu yang lebih penting.

“Saya menang di Bera, parti kalah seperti PRU14 pun tidak ada makna, akhirnya saya menjadi ketua pembangkang.

“Yang pentingnya menang di Bera sebagai Ahli Parlimen Bera, parti mesti menang dan menguasai kerajaan,” tegas beliau.

Berdepan saingan tiga penjuru, Ismail Sabri yakin dengan kerja keras Umno dan BN mampu kembali menjadi parti dominan di Parlimen dan menambah bilangan kerusi bagi membolehkan pembentukan kerajaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, tiada provokasi melampau selain perjalanan proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lancar menggambarkan kematangan parti dan penyokong politik.

Ismail Sabri berkata, setakat ini semua pusat penamaan calon seluruh negara terkawal tanpa sebarang kekecohan.

Menurutnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani juga sudah mengarahkan 36,395 pegawai dan anggota di lapangan untuk memastikan proses penamaan calon lancar.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak khususnya Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memastikan proses demokrasi ini berjalan dengan tenang serta terkawal.

“Tiada insiden yang menyebabkan kekecohan di pusat penamaan calon dan keadaan tenang di seluruh negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat