10 Tahun Ketinggalan, Calon BN Jamin Sepang Tak Akan Mundur

- Advertisement -

CYBERJAYA: Calon BN Parlimen Sepang, Anuar Basiran memberi jaminan, kawasan itu tidak akan terus mundur sekiranya beliau menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sebagai anak jati Sepang, Anuar, 45, berkata, Parlimen Sepang semasa di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) ketinggalan 10 tahun ke belakang.

Katanya, pelbagai infrastruktur yang tidak dibaikpulih antaranya ialah beberapa jalan utama bagi menghubungkan dari satu kawasan ke kawasan yang lain masih gagal dilaksanakan oleh kerajaan PH di Selangor.

“Sepang ini ketinggalan 10 tahun ke belakang. Rakyat di luar sana faham tentang situasi ini dan sekarang, rakyat diberi semula kuasa untuk memilih.

“Saya harap tidak akan berlaku lagi kesilapan buat kali ketiga. Hari ini, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur,” kata Anuar yang pertama kali bertanding PRU kepada Suara.TV.

Selain itu, Anuar yang mempunyai sarjana dalam bidang komunikasi korporat daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, meskipun Parlimen Sepang menyaksikan perlawanan lapan penjuru, namun beliau tidak gentar.

Malah, beliau yakin mampu merampas kembali kerusi Sepang selepas melihat pelbagai masalah yang kini melanda parti lawan.

“Hari ini kita nampak, kesepaduan dan kerjasama bersama BN dan ia memperlihatkan kejayaan yang akan dicapai pada 19 hari bulan nanti semakin hampir kepada BN.

“Saya yakin, Sepang akan menyumbangkan kerusi kemenangan.

“60 tahun dah parti ini berkhidmat, berjasa dan berbakti pada rakyat. Berbeza dengan mereka yang hanya tahu berjanji, memfitnah pada kami pimpinan BN,” ujar Naib Ketua UMNO Sepang itu lagi.

Sehubungan itu, beliau juga berharap dan merayu kepada pengundi Parlimen Sepang agar memberi mandat kepada BN semula yang telah terbukti merupakan sebuah gabungan parti yang stabil.

“Saya memberi harapan yang tinggi buat rakyat Parlimen Sepang dan merayu pada mereka, pengundi di luar sana untuk kembali pada BN yang sememangnya terbukti sebuah parti yang stabil dan makmur yang boleh menjamin kebahagian dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat