Kematian Zulfarhan : Majlis Perubatan akan teliti penghakiman Mahkamah Tinggi – laporan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Majlis Perubatan Malaysia (MMC) akan meneliti penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkenaan kematian Zulfarhan Osman Zulkarnian dan menentukan sama ada sebarang penambahbaikan boleh dibuat kepada kod etika profesional mereka.

Presiden MMC, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata demikian selepas mahkamah mendapati penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersalah membunuh Zulfarhan yang juga rakan sepengajian mereka.

Hakim turut membangkitkan persoalan doktor yang merawat Zulfarhan pada peringkat awal kerana tidak memaklumkan keadaan mangsa kepada pihak berkuasa.

“Ketika ini, doktor perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam garis panduan Kod Kelakuan Profesional dan Amalan Perubatan Baik, yang mencukupi untuk memastikan amalan selamat dan beretika.

“Bagaimanapun, MMC akan meneliti penghakiman mahkamah untuk melihat sama ada sebarang penambahbaikan boleh dilakukan atau tidak,” katanya memetik Malaysiakini.

Untuk rekod MMC merupakan badan yang mengawal isu etika dan salah laku profesional melibatkan pengamal perubatan di negara ini.

Berdasarkan keterangan di mahkamah Zulfarhan telah diseksa sekumpulan penuntut UPNM sebelum dia dibawa ke klinik swasta – dan bukannya hospital – kerana bimbang pihak berkuasa akan mengetahui apa yang berlaku.

Hakim, Datuk Azman Abdullah berkata Zulfarhan mungkin dapat diselamatkan sekiranya doktor di klinik berkenaan mengesan adanya tanda-tanda penyeksaan ketika merawat mangsa.

“Doktor tidak sepatutnya menutup mata dan percaya si mati terlibat dalam letupan semasa latihan sehingga dia melecur di seluruh badannya, termasuk zakarnya, tetapi tidak mempunyai sebarang kesan di muka,” kata hakim itu.

Mahkamah memutuskan bahawa Zulfarhan telah meninggal dunia akibat penyeksaan yang dialaminya tetapi mendapati pembunuhan itu tidak dirancang.

Dia meninggal dunia akibat 90 luka melecur akibat seterika wap yang digunakan oleh enam tertuduh – Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali kesemuanya – pada 2017.

Mereka dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun selepas didapati bersalah membunuh tanpa niat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat