Agong, Permaisuri tinjau pembangunan projek lebuh raya Pan Borneo Sabah

- Advertisement -

BELURAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang hari ini menjelajahi kawasan tengah Sabah, berkenan meninjau pembangunan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, di sini.

Seri Paduka berdua dan rombongan Kembara Kenali Borneo, berangkat ke tapak Pakej Kerja 29 Moynod-Sapi Nangoh di sini dan mendengar sembah taklimat mengenai projek itu daripada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebelum meneruskan perjalanan kembara itu ke Telupid, yang turut dikenali sebagai ‘The Heart of Sabah’.

Nanta ketika ditemui pemberita selepas lawatan itu, berkata beliau memberikan sembah taklimat kepada Al-Sultan Abdullah berhubung latar belakang dan status semasa pelaksanaan projek lebuh raya itu, yang kini 83 peratus siap bagi 15 pakej kerja Fasa 1A projek berkenaan.

“Sesungguhnya keberangkatan julung kali Seri Paduka berdua bagi meninjau sendiri pembangunan projek ini, menzahirkan keprihatinan Tuanku berdua dalam usaha kerajaan menambah baik infrastruktur jaringan jalan raya di Sabah.

“Jaringan ini merupakan pemangkin pembangunan sosioekonomi dan perindustrian, serta menambah baik keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di negeri ini,” katanya.

Mengulas perkembangan projek itu, Nanta berkata antara masalah yang dikenal pasti untuk menyiapkan projek itu, melibatkan bekalan bitumen iaitu bahan bagi membina jalan raya bertar, justeru, kementeriannya melakukan libat urus bersama Kerajaan Sabah, bagi mengatasi masalah tersebut.

“Saya difahamkan JKR Sabah juga mengadakan libat urus bersama pihak pembekal (bitumen) iaitu Syarikat Petroliam Bhd dan Shell Malaysia, supaya bekalan bitumen itu nanti tidak terganggu,” katanya, selain menekankan koordinasi antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan pihak utiliti seperti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu diperbaiki.

Nanta berkata beliau akan memanggil semua pihak terlibat dalam pembangunan lebuh raya itu termasuk SESB, bagi mengelak berlaku sebarang masalah dan mengelakkanya daripada berulang, dijangka selepas lantikan kontraktor untuk baki 20 pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilakukan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, kini berangkat melakukan perjalanan sejauh 2,154 kilometer Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat