Sekretariat ASEAN Perlu Bertindak Cepat Mengenai Situasi Di Myanmar – Saifuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sekretariat ASEAN perlu bertindak cepat dan proaktif dalam menyediakan maklumat terkini mengenai perkembangan terkini di Myanmar, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Menteri Luar itu berkata beliau dan menteri-mentari luar ASEAN hanya menerima laporan mengenai situasi di Myanmar daripada sumber sendiri iaitu melalui pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bukan daripada sekretariat ASEAN.

“Pada 3 Sept, saya telah menulis surat kepada setiausaha agung ASEAN meminta, antara lain, memaklumkan kepada menteri-menteri luar ASEAN tentang apa sebenarnya berlaku di Myanmar.

“Sekretariat ASEAN mesti bertindak cepat untuk menyampaikan apa yang sebenarnya berlaku di Myanmar…mereka (sekretariat ASEAN) perlu mempunyai pasukan yang bertugas sepenuh masa,” katanya pada sidang media selepas melawat sekolah untuk Kanak-kanak Rohingya, Rabbaniyah Educare, di sini, Isnin.

Pada 1 Feb 2021, tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa, beberapa jam sebelum parlimen baharu bersidang buat kali pertama.

Sejak itu, lebih 2,000 orang terbunuh dalam pemberontakan menentang junta.

Pada Julai lalu, junta telah menjatuhkan hukuman gantung terhadap empat tahanan politik, antaranya dua aktivis prodemokrasi terkemuka.

Minggu lalu pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi telah dikenakan hukuman penjara tambahan tiga tahun lagi atas tuduhan penipuan pilihan raya, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjaranya kepada 20 tahun, termasuk kesalahan rasuah.

Minggu lalu, junta Myanmar dilaporkan turut memenjarakan Vicky Bowman, bekas duta United Kingdom ke negara itu, dan suaminya warga tempatan selama setahun kerana melanggar peraturan imigresen.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata krisis Myanmar kini sedang ditangani melalui mesyuarat dan badan serantau 10 anggota itu tidak sepatutnya hanya menunggu sehingga sidang kemuncak seterusnya pada November untuk membincangkan isu berkenaan.

Beliau menggesa ASEAN bertindak lebih cepat untuk memberikan bantuan kemanusiaan dan mendorong proses damai di Myanmar yang kini di bawah pemerintahan junta.

Negara anggota ASEAN juga perlu segera memutuskan sama ada akan meneruskan kerjasama dengan junta dalam memberikan bantuan kemanusiaan, katanya sambil menambah beberapa NGO tempatan di Myanmar enggan bekerjasama dengan tentera kerana tidak mempercayai mereka.

“ASEAN mesti memutuskan, di mana pendirian kita? Adakah kita teruskan dengan junta? Atau adakah kita bekerja tanpa junta dan menyokong pihak yang kita tahu melakukan kerja yang baik? Ini adalah persoalan utama dan kita perlu membuat keputusan segera,” kata Saifuddin.

Saifuddin berkata Sekretariat ASEAN tidak menganjurkan sebarang program sempena ulang tahun kelima serangan tentera Myanmar terhadap Rohingya pada 25 Ogos sebaliknya beliau hanya menghadiri acara anjuran NGO dan Rohingya.

Mengenai berita kematian seorang warga Malaysia berusia 23 tahun di sempadan Thailand-Malaysia, yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan kerja, Saifuddin kesal dengan apa yang berlaku dan akan mendapatkan laporan terperinci mengenai kejadian itu, sambil menambah konsulat yang bertanggungjawab akan membantu membawa pulang jasadnya ke Malaysia.

Bernama melaporkan Goi Chee Kong, 50, dan isterinya, 45, yang berlepas ke Thailand untuk mencari anaknya Zhan Feng, 23, sedih apabila mengetahui kematian anaknya mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan kerja.

Zhan Feng meninggal dunia pada Mei di sebuah hospital dekat sempadan Myanmar dan dipercayai diperdagangkan ke Myawaddy, di tenggara Myanmar serta dipaksa bekerja untuk sindiket itu. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat