Kata Sumbangan Politik Tapi Tidak Masuk Dalam Akaun Umno, Zahid Terima Suapan Untuk Diri Sendiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima suapan untuk dirinya sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Abdul Malik Ayob, berkata sumbangan diserahkan oleh pegawai Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah secara peribadi dan tidak pernah dibayar ke dalam akaun Umno walaupun ia dikatakan untuk sumbangan politik.

“Walaupun pihak pembelaan berkata wang itu adalah sumbangan politik, ia tidak dibayar kepada parti politiknya.

“UKSB juga tidak pernah membayar wang itu ke dalam akaun Umno atau menerima resit daripada pembayaran itu. Tertuduh juga tidak pernah menolak atau menyerahkan wang itu semula apabila wang berkenaan diserahkan kepadanya,” katanya dalam hujah di akhir kes pendakwaan lapor Bernama pada Isnin.

Abdul Malik berkata, keterangan tiga saksi utama termasuk dua bekas Pengarah UKSB, iaitu Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, serta Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, yang merupakan saksi ke-15, ke-16 dan ke-17 pendakwaan, adalah konsisten berhubung penyerahan wang itu kepadaZahid.

“Vui Khiun dan Wan Quoris Shah bersetuju ketika memberi keterangan bahawa tertuduh tidak pernah menyatakan jumlah wang yang akan disumbangkan, hanya tertuduh menyatakan bahawa sumbangan itu mesti dibuat secara tunai dan dalam mata wang dolar Singapura.

“Mereka juga bersetuju penghantaran wang itu dilakukan di Country Heights, Kajang, atau Sri Satria, Putrajaya, dan penyerahan dilakukan pada waktu malam selepas jam 10 malam.

“Mereka juga dapat menggambarkan kediaman peribadi atau rasmi tertuduh yang penghantaran dilakukan di kediaman itu,” katanya.

Sementara itu, TPR Zander Lim Wai Keong berhujah mengenai aduan pihak pembelaan bahawa pendakwaan telah bertindak secara tidak adil, ‘bias’ dan melakukan pendakwaan terpilih terhadap tertuduh.

“Persoalan yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah ialah sama ada hak tertuduh terhadap perbicaraan yang adil telah dilanggar atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, Zahid telah diwakili oleh pasukan peguam kompeten, diberi peluang menyoal balas saksi pendakwaan, diberi peluang membela diri ketika kes pendakwaan, dan diberi masa mencukupi untuk memfailkan hujahan bertulis.

“Tertuduh juga diberi hak untuk mengemukakan pembelaan secara lisan pada penutup kes pendakwaan dan tanpa keraguan, kes ini dibicarakan di hadapan Yang Arif yang merupakan seorang yang adil dan saksama,” katanya.

Zander Lim juga berhujah bahawa tidak ada pelanggaran hak Zahid bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Pertuduhan yang dihadapi tertuduh tidak bersifat diskriminasi. Tertuduh diberikan hak prosedur yang sama untuk pelepasan dan pembelaan sama seperti tertuduh lain dalam perbicaraan jenayah tanpa diskriminasi.

“Tertuduh berhak mengemukakan semua pembelaan, termasuk memeriksa saksi-saksi pendakwaan,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pendakwaan akan menyambung hujahan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, esok.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,499FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat