Nafiz nikah Disember

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Biarpun masih hijau dalam bidang lakonan dan faktor usia dilihat muda, pelakon berbakat besar, Nafiz Muaz, 23, sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami.

Jejaka kacak kelahiran Sungai Petani, Kedah yang digilap bakat pada Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016 itu sepatutnya bergelar suami kepada ahli perniagaan, Diyana Omar, 28, pada 8 Ogos lalu.

Namun, disebabkan beberapa masalah termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), majlis pernikahan ditunda ke Disember depan.

“Mengikut perancangan kami berkahwin pada awal bulan lalu, namun kita hanya merancang dan Tuhan menentukan. Selain keterbatasan SOP akibat pandemik COVID-19, sanak saudara bakal isteri juga ada yang masih berada di luar negara dan belum dapat merentas pulang ke Malaysia.

“Asalnya, kami mahu mengadakan majlis pernikahan di Kuala Lumpur, tetapi kami menukar perancangan bernikah di Kedah pada Disember depan. Ini juga atas permintaan keluarga perempuan. Majlis resepsi pula dijadualkan pada tahun depan,” katanya kepada BH Online.

 

Nafiz Muaz tidak ralat menamatkan zaman bujang ketika namanya baru mekar dan diminati. - Foto IG Nafiz Muaz
Nafiz Muaz tidak ralat menamatkan zaman bujang ketika namanya baru mekar dan diminati. – Foto IG Nafiz Muaz

 

Lebih empat tahun berkecimpung dalam arena seni, Nafiz tidak ralat menamatkan zaman bujang ketika namanya baru mekar dan diminati.

“Sepanjang bergelar pelakon, saya ada menyimpan duit untuk keperluan masa depan. Saya juga mahu membawa hubungan bersama kekasih ke tahap lebih baik dan serius. Insya-Allah, semoga dipermudahkan segala galanya,” katanya yang mengenali kekasihnya sejak hampir tiga tahun lalu.

Nafiz berkata, dia senang mengenali wanita berambut panjang ikal mayang itu.

“Saya selesa dengannya, malah cukup terbuka berkongsi gambar berdua di laman Instagram (IG).

“Kami mengikat tali pertunangan Februari lalu pada majlis berlangsung di ibu kota yang diadakan secara ringkas,” katanya.

Mengulas perkembangan seni, Nafiz atau nama sebenarnya, Muhd Nafiz Muaz Mat Nasir sudah kembali ke lokasi penggambaran selepas beberapa bulan tiada tawaran kerja.

“Saya akui terkesan akibat COVID-19 sejak beberapa bulan lalu. Alhamdulillah, saya kembali berlakon drama Hello Jangan Tapau Cintaku bergandingan kali pertama dengan Elisya Sandha,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat