Situasi Politik Kerajaan Persekutuan: Pentadbiran Kerajaan Negeri Tidak Terjejas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Situasi politik yang melanda negara susulan keputusan UMNO menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Di KEDAH, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya telah menyembah maklum kepada Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bahawa, pentadbiran kerajaan negeri tidak terjejas dengan situasi semasa politik itu.

“‘Pandemik’ (krisis politik) yang berlaku itu hanya di Putrajaya sahaja, hubungan PN di Kedah masih kekal,” katanya dalam sidang media secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, dengan kehadiran penuh semua Exco kerajaan negeri secara dalam talian.

Beliau berkata, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang dijangka diadakan pada 20 hingga 23 Sept depan, akan dilaksanakan mengikut jadual dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga menyuarakan perkara yang sama, dan memaklumkan kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat, terutama terhadap usaha menangani pandemik COVID-19.

“Saya serahkan politik Melaka ini kepada kepimpinan peringkat persekutuan, saya masih bersama rakan-rakan, apa pun berlaku saya akur kepada apa sahaja keputusan parti. Itu sahaja yang saya dapat maklumkan,” katanya yang menambah setakat ini tiada Exconya menarik diri daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, serta lima ketua UMNO Bahagian di Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini pada Rabu.

Situasi yang sama turut berlaku di Perak apabila kesemua Exco kerajaan negeri hadir mesyuarat pagi tadi seperti biasa dan berlangsung dalam suasana penuh harmoni, tanpa sebarang masalah.

Menteri Besar Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Taman Datuk Saarani Mohamad melalui pesanan WhatsApp kepada Bernama berkata, mesyuarat Exco yang bermula pukul 10 pagi itu membincangkan mengenai perkembangan isu semasa dan vaksinasi COVID-19 di Perak.

Sementara itu di JOHOR, Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad menyatakan bahawa pentadbiran kerajaan negeri itu juga berjalan seperti biasa.

“Ya,” katanya menjawab ringkas kepada Bernama menerusi Whatsapp ketika ditanya mengenai status pentadbiran di sini.

Terdahulu menerusi akaun Twitter rasminya, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Benut berkata, “Kami (kerajaan negeri) akan terus mempertahankan demokrasi dan mematuhi Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.”

Penyataan Hasni itu berikutan perkembangan terkini berikutan perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Terdahulu Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri dan akan menentukan keabsahannya sebagai perdana menteri di Parlimen, dengan membenarkan suatu usul undi percaya kepadanya dibentangkan di Dewan Rakyat pada September.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat