Jumlah Keseluruhan 10,019 Kes Kematian Akibat Covid-19 Direkodkan Setakat Ini

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kes harian negara terus merekodkan lonjakan dengan melepasi angka 20,000 iaitu sebanyak 20,596 kes sekali gus tertinggi dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 mencecah 1,203,706 kes.

Pesakit yang sedang dirawat dan diasingkan juga merekodkan peningkatan kepada 217,061 kes termasuk 1,078 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 549 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Angka sembuh harian pula mencatatkan sebanyak 13,893 kes juga tertinggi dilaporkan dengan jumlah kumulatif sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 mencecah 976,626 kes.

Terdapat 164 kes kematian termasuk 14 warga asing melibatkan 89 lelaki dan 75 wanita dengan 22 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID), menjadikan jumlah kes kematian Covid-19 sebanyak 10,019 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 398 kes (1.9 peratus) daripada jumlah kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 20,198 kes (98.1 peratus) daripada kategori satu dan dua.

“Ini berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis Covid-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga berubah status kesihatan sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, hanya 4,660 kes (22.6 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah imunisasi Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini.

Beliau berkata, mengikut status vaksinasi Covid-19, sebanyak 114 kes adalah kategori lima (kritikal dan perlu bantuan pernafasan) dengan 105 kes atau 92.1 peratus tiada sejarah vaksinasi.

“Selain itu, 79 kes kategori empat (radang paru-paru dan perlu bantuan oksigen) dengan 69 kes atau 87.3 peratus tiada sejarah vaksin manakala 205 kes kategori tiga (radang paru-paru) dengan 144 kes atau 70.2 peratus tiada sejarah vaksinasi.

“Kategori dua (bergejala ringan) merekodkan 9,384 kes dengan 6,089 kes atau 64.9 peratus tiada sejarah vaksinasi manakala 10,814 kes kategori satu (tiada bergejala) dengan 9,529 kes atau 88.1 peratus tiada sejarah vaksinasi,” jelasnya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 33 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 18 kluster tempat kerja, 12 kluster komuniti, dua kluster pusat tahanan dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Berhubung kadar kebolehjangkitan, beliau berkata, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.07 dengan negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Kelantan (nilai RT 1.31), diikuti oleh Terengganu (nilai RT 1.26) dan Perak (nilai RT 1.22).

“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Perlis dan Labuan,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,558FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat