KUALA LUMPUR – Tiada dendam kesumat di hati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menaikkan subsidi padi daripada RM360 kepada RM500 meskipun Kedah diperintah parti pembangkang, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menurut Datuk Seri Mohamad Sabu, Anwar adalah seorang yang mementingkap sikap kemanusiaan berbanding pilih kasih terhadap negeri pembangkang.
“Perdana Menteri umum sekali gus kenaikan subsidi padi daripada RM360 kepada RM500 walaupun Kedah diperintah parti pembangkang.
“Ertinya dendam kesumat pada Perdana Menteri kita ini tiada.
“Sikap kemanusiaan yang diutamakan,” kata Presiden Amanah itu dalam Ceramah Perpaduan di Sungai Bakap malam tadi.
Pada 8 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan Kerajaan bersetuju menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa 9 Ogos.
Anwar berkata, menerusi inisiatif itu setiap seorang pesawah di negara ini akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 bagi setiap metrik tan padi yang dituai.