KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuktikan dirinya sebagai sesumpah politik.
Dalam nada sarkastik, Kit Siang mengucapkan ‘terima kasih’ kepada Dr Mahathir katanya, “terima kasih kepada Mahathir Mohamad, gambaran besar untuk enam pilihan raya negeri yang akan datang sudah jelas iaitu sama ada usaha mempromosi Malaysia majmuk berbilang kaum bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia,
“Mahathir telah membuktikan dirinya sebagai seorang sesumpah politik.
“Saya masih ingat dengan pengumumannya di persidangan perwakilan Gerakan pada 29 September 2001 bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, bertentangan dengan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan ketiga.
“Tunku Abdul Rahman, semasa majlis makan malam sempena hari jadi ke lapan puluhnya pada 8 Februari 1983 yang dianjurkan oleh Barisan Nasional (BN), yang telah dihadiri oleh semua pemimpin tertinggi BN termasuklah Perdana Menteri ketika itu, Mahathir, telah memberikan mesej yang amat penting kepada para pemimpin BN untuk tidak mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam. Perkara ini menjadi tajuk utama semua akhbar pada keesokan harinya.
“Tunku menekankan yang Malaysia ditubuhkan sebagai sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi dan perkara ini termaktub dalam Perlembagaan dan perlulah dihormati dan dipegang,” kata Kit Siang dalam kenyataan pada Rabu.
Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyatakan, empat hari kemudian, semasa menyambut ulang tahun ke-61 pada 12 Februari 1983, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Tun Hussein Onn, telah memberikan sokongan penuh secara terbuka kepada seruan Tunku yang dihalakan kepada para pemimpin BN untuk tidak mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam.
“Hussein mengatakan “tidak bijak atau praktikal” untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam memandangkan Malaysia boleh berfungsi sebagai sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasminya.
“Mahathir telah mengabaikan Suruhanjaya Perlembagaan Reid 1957 dan Suruhanjaya Cobbold 1962.
“Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Reid 1957, perenggan 169, mencadangkan supaya Perlembagaan Malaya, selepas mencapai kemerdekaan, menyatakan dengan jelas bahawa Malaya adalah sebuah negara sekular.
“Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962 melaporkan pendapat rakyat Sabah dan Sarawak mengenai pembentukan Malaysia. Salah satu punca kesangsian rakyat Sabah dan Sarawak untuk menyokong pembentukan Malaysia adalah mengenai sama ada Persekutuan baharu ini akan menjadi sebuah negara Islam. Ahli-ahli Suruhanjaya Cobbold yang berbangsa British telah mencadangkan supaya peruntukan Islam sebagai agama rasmi tidak dipakai di Sabah dan Sarawak telah ahli-ahli kerajaan Malaya memberikan jaminan bahawa peruntukan ini tidak akan menjejaskan sifat Malaysia sebagai sebuah “negara sekular”,” kata Kit Siang lagi.
Beliau juga menambah, Mahathir membuat perisytiharan “929” yang mendapat sokongan Gerakan untuk menangkis PAS tetapi sekarang Mahathir dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berada di dalam kumpulan yang sama.
“Mereka yang berada di pihak yang percaya bahawa perlembagaan Malaysia bersifat majmuk adalah tiga Perdana Menteri terawal Malaysia, yang juga merupakan Presiden Umno — Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn.
“Perdana Menteri kedua dan ketiga juga menyokong Rukun Negara sebagai prinsip pembinaan sebuah Malaysia yang majmuk.
“Pendirian Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Mahathir Mohamad, sebelum ini adalah bahawa Perlembagaan Malaysia bersifat majmuk, terutamanya ketika dia mengumumkan rancangan 30 tahun Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya, dan dia juga menyokong prinsip-prinsip Rukun Negara, tetapi pendiriannya berubah selepas September 2021 di mana dia menulis buku “Capturing Hope — The Struggle for a New Malaysia” selepas dia dijatuhkan dari berkuasa dengan konspirasi politik Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020,” ujarnya.
Tambah Kit Siang lagi, dalam bukunya, “Capturing Hope”, Mahathir menulis: “Sekarang, saya telah meluangkan keseluruhan hidup dan kerjaya saya menjadi “pro-Melayu”. Sekiranya apa yang dimaksudkan orang dengan terma itu sebagai dedikasi masa dan tenaga untuk membantu kemajuan komuniti orang Melayu, terutamanya dari segi pendidikan dan pendapatan, ya, saya pastinya seorang pro-Melayu. Menjadi pro-Melayu tidak bermaksud menjadi anti-orang lain. Namun, ada mereka yang mahu dilihat sebagai “pertamanya Melayu”, lebih utama dari dilihat sebagai seorang rakyat Malaysia, dan perkara ini telah membawa mereka untuk mempromosikan idea membentuk “Kerajaan Melayu Islam”. Di Malaysia, di mana lebih dari 30 peratus populasi terbentuk dari kalangan orang bukan Melayu, perkara ini tidak mungkin. Dan pastinya, “Kerajaan Melayu Islam” baharu Perikatan Nasional di bawah Muhyiddin Yassin sebenarnya bergantung kepada orang bukan Melayu untuk bertahan.”
Mahathir menuliskan perkara ini pada bulan September 2021.
“Tetapi perkara ini tidak lagi menjadi pendiriannya sekarang? soal Kit Siang dalam catatan terbarunya.