‘Ramlah tak kisah lagu baharu popular atau tidak’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Single terbaharu Ramlah Ram berjudul Aku Ubatinya Lagi mengembalikan nostalgia penyanyi bersuara lantang itu terhadap persahabatannya dengan komposer lagu berkenaan, Ajai ketika masing-masing bertapak dalam dunia seni.

Mengimbau detik itu, Ramlah memberitahu, ingatannya menerpa kepada zaman kemunculan kumpulan Exist yang dianggotai Ajai, kira-kira tiga dekad lalu.

“Single Aku Ubatinya Lagi adalah lagu pertama ciptaan Ajai untuk saya selepas lebih tiga dekad bergelar penyanyi. Sebelum ini, bukan saya tidak mahu menyanyikan lagu Ajai, namun, rezeki belum ada.

Ramlah mengubat rindu peminat dengan single terbaharu ciptaan Ajai berjudul Aku Ubatinya Lagi. Foto Ihsan Ramlah Ram
Ramlah mengubat rindu peminat dengan single terbaharu ciptaan Ajai berjudul Aku Ubatinya Lagi. Foto Ihsan Ramlah Ram

 

“Justeru, apabila Ajai menawarkan saya menyanyikan lagu ini, saya terima tanpa banyak bicara,” katanya kepada BH Online.

Ramlah berkata, dia mengenali Ajai sejak awal 1990-an ketika mereka bernaung di bawah syarikat rakaman sama.

“Kami pernah buat persembahan bersama. Kadang-kadang apabila tiada urusan kerja, Ajai dan anggota Exist yang lain datang ke rumah dan meminta dihidangkan makanan.

“Selalunya, saya akan goreng jemput-jemput pisang atau cekodok kepada mereka,” katanya.

Mengakui kehebatan karya komposer yang banyak mencipta lagu untuk penyanyi popular tanah air itu, Ramlah berkata, Ajai memberi kebebasan kepadanya untuk mewarnai lagu berentak balada itu.

“Sepanjang bekerja dengannya, Ajai tidak pernah memaksa saya mengikut caranya. Cuma pesannya, dia mahu saya menghayati lagu mengikut perasaan sendiri.

“Saya pernah bekerja dengan ramai komposer. Tidak dinafikan setiap komposer ada cara mereka sendiri. Untuk lagu ini, saya hanya ikut rasa berdasarkan susunan muzik yang digubah Ajai,” katanya.

Ramlah berkata, Ajai sangat teliti dalam memastikan lagu dirakam bermutu.

“Kalau ada perkara yang dia tidak puas hati atau idea saat akhir yang difikirkan bagus, Ajai akan buat penambahbaikan agar lebih mantap,” katanya yang popular dengan lagu kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu.

Mengenai harapannya terhadap single Aku Ubatinya Lagi, penyanyi kelahiran Kesang, Muar ini lebih suka lagu berkenaan mengubat kerinduan peminat.

“Bagi saya, apabila menghasilkan lagu baharu, objektifnya adalah untuk mengubat kerinduan peminat dan kekal relevan dalam industri.

“Popular atau tidak lagu itu, ia bergantung pada rezeki. Jika popular, itu dianggap bonus. Namun, jika sebaliknya, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus menghasilkan lagu,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat