Pengambilan Khas Guru Langkah Berani

- Advertisement -

Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan satu pengambillan khas guru pada tahun 2021 adalah satu langkah berani dalam memperkemaskan sistem pendidikan negara pasca pandemik Covid-19 nanti.

Pengambilan membabitkan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 ini akan mula dibuat pada 7 Julai nanti, dengan penempatan secara berperingkat bermula pada Oktober nanti, merupakan antara salah satu kemasukan terbesar pernah dibuat oleh KPM.

Ini bermakna apabila sekolah dibuka pada tahun hadapan, ketika negara telah pun mencapai kekebalan kelompok terhadap Koronavirus 2019 (Covid-19), sekolah telah bersedia dengan keupayaan pengajaran yang lebih baik dan kemas.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, pengambilan ‘one off’ ini bagi menampung kekurangan guru di seluruh negara dengan tumpuan kepada Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Sesungguhnya isu kekurangan guru sudah dibicarakan sejak beberapa tahun lepas tanpa langkah yang konkrit dan bersungguh.

Misalnya pada awal tahun 2019 Menteri Pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik menyatakan masalah kekurangan guru di negara ini berada di tahap yang masih boleh diuruskan. Namun pada hujung tahun yang sama, Timbalannya Teo Nie Ching memaklumkan sekolah kebangsaan mengalami kekurangan guru sebanyak 6,000 tempat. Ini angka sekolah kebangsaan sahaja. Belum lagi sekolah menengah.

Selain kekurangan guru di empat negeri tersebut, Dr Radzi juga menyatakan terdapat kekurangan ketara bagi beberapa mata pelajaran tertentu. Bagi sekolah rendah, antara mata pelajaran yang dikenal pasti berhadapan kekurangan guru sangat ketara ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Manakala bagi sekolah menengah pula, mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, dan Reka Bentuk dan Teknologi dikenal pasti mengalami kekurangan guru yang kritikal.

Anehnya, ketika kita melaungkan kekurangan guru, negara juga berhadapan ribuan graduan pendidikan yang tidak berpeluang menjadi guru kerana kekurangan pengambilan.

Justeru pengambilan khas ini tampak merupakan strategi serampang dua mata iaitu, untuk menyelesaikan isu kekurangan guru dan mengurangkan isu graduan pendidikan yang menganggur.

Dalam masa yang sama, KPM juga perlu mempertimbangkan keutamaan kepada guru-guru interim yang telah berpengalaman mengajar di sekolah. Mereka ini bukan sahaja berpengalaman malah telah menunjukkan komitmen sebagai pendidik walaupun tidak berjawatan tetap.

Penambahan guru secara besar-besaran ini membolehkan sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah menjadi lebih kemas dan efektif. Ini sekaligus akan meningkatkan keupayaan sekolah bagi menangani masalah ketinggalan dan kekurangan dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika ini.

Negara terpaksa melaksanakan PdPR bagi sebahagian besar tahun 2020 dan 2021 kerana sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19. Walaupun ada pelbagai usaha dari guru, kerajaan dan ibu bapa untuk menjayakan proses ini, tidak sesiapa boleh menafikan terdapat ramai pelajar yang tercicir. Sebahagiannya kerana kerana kurang kemampuan mempunyai peralatan, dan sebahagian lagi hilang fokus dalam sesi atas talian.

Realitinya, walau apa pun kesungguhan kita melaksanakan PdPR ia tidak sama dengan pembelajaran bersemuka dalam kelas terutama kepada pelajar sekolah rendah.

Di sebalik pengumuman besar ini, membuat pengambilan seramai ini sekaligus bukanlah tugas mudah. Ia memerlukan komitmen dan keberanian kerajaan kerana membabitkan jumlah kewangan yang besar.

Dalam keadaan eknomi tidak menentu, kewangan kerajaan yang lemah, langkah ini hanya akan menambah beban kewangan kerajaan. Namun ia juga satu langkah yang sangat perlu kerana kita tidak boleh selama-lamanya membenarkan isu ini berlarutan sehingga menjejaskan kualiti pendidikan anak-anak kita.

Sesungguhnya di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat