Malaysia Negara Pertama Terima Sumbangan Vaksin Pfizer Dari US Di Asia Tenggara – KJ

- Advertisement -

SUBANG JAYA: Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menerima sumbangan vaksin Pfizer menerusi Program Perkongsian Vaksin Global (Covax), Amerika Syarikat (AS).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dengan sumbangan itu, Malaysia peroleh sejumlah 6.4 juta dos vaksin keluaran BioNTech termasuk sejuta vaksin sumbangan AS setakat Isnin.

“Sebulan selepas White House mengumumkan mengenai strategi global Program Perkongsian Vaksin Global (Covax), kita berbesar hati untuk menjadi penerima pertama di Asia Tenggara. Itu yang saya dimaklumkan.

“Saya mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Amerika Syarikat dan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan ketibaan bekalan vaksin itu di Kompleks Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Khairy memberitahu, sumbangan itu adalah simbolik kepada keprihatinan dan kepercayaan kerajaan AS terhadap Malaysia dalam memerangi pandemik COVID-19 serta menyokong program imunisasi global.

“Saya yakin sumbangan vaksin ini adalah tanda keakraban hubungan antara kedua-dua negara Malaysia dan AS di mana kita yakin sumbangan ini akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala,” tambahnya.

Beliau juga memberitahu, Malaysia bersyukur sekiranya AS sedia menyalurkan sumbangan vaksin menerusi bantuan fasa kedua di masa akan datang.

Ditanya mengenai ‘mix and match’ vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca, beliau yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kaedah kombinasi itu.

“Masih lagi dalam kajian dan belum dimuktamadkan lagi oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal.
“Jawatankuasa Kerja Teknikal akan mengemas kini dengan JKJAV,” jelasnya.
Sementara itu, McFeeters memberitahu, peruntukan vaksin kepada Malaysia adalah sebahagian daripada komitmen pentadbiran Joe Biden untuk berkongsi bekalan vaksin AS kepada dunia.

“AS komited untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam memerangi pandemik COVID-19.
“Kami berharap sumbangan ini akan membantu melindungi rakyat Malaysia daripada virus COVID-19,” katanya.

Terdahulu, sejuta dos vaksin Pfizer-BioNTech sumbangan kerajaan AS yang dibawa dengan penerbangan Raya Airways TH384 selamat tiba jam 8.12 pagi tadi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.

-Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,560FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat