‘Dapat aduan, FINAS serbu’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mempertahankan tindakan menyerbu sebuah syarikat produksi di Sunway Velocity, Cheras, pada 29 Jun lalu yang didapati ingkar menjalankan aktiviti penggambaran dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata tindakan diambil sah kerana mengikut tatacara dan bidang kuasa yang diberikan kepada perbadanan itu.

“Dalam situasi ini, serbuan itu dibuat berdasarkan aduan rasmi diterima. Sebagai badan yang bertanggungjawab, FINAS kena buat apa yang sepatutnya dilakukan.

“Ingin saya nyatakan, setiap tindakan yang dibuat adalah mengikut garis panduan dan tatacara perundangan serta hak kuasa yang ditetapkan di bawah Akta FINAS 1981.

“Kita tidak mahulah nanti ada pihak lain yang menuduh FINAS tidak buat kerja jika kami mengabaikan aduan rasmi seperti itu.

“Sedangkan sebelum ini, FINAS menggalakkan mereka untuk berbuat demikian (kemuka aduan salah laku),” katanya kepada BH Online.

Jumaat lalu, FINAS mengumumkan mengesan syarikat produksi yang ingkar larangan melakukan aktiviti penggambaran dalam fasa pertama PPN di Sunway Velocity, Cheras, di sini, pada 29 Jun lalu.

Dilaporkan, tindakan penguatkuasaan diambil ke atas syarikat produksi terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 22 (1) Akta FINAS 1981 (Akta 244).

Diminta mengulas apakah benar dakwaan aktiviti penggambaran dilakukan adalah untuk kandungan media sosial, Ahmad Idham berkata, fakta itu bertentangan dengan laporan yang diterima daripada Unit Penguatkuasa, Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan FINAS.

“Laporan diterima menyebut ada aktiviti penggambaran dilakukan. Kalau mereka dakwa apa yang dilakukan adalah untuk penggambaran kandungan media sosial, kenapa ada peralatan dan pekerja belakang tabir profesional di premis terbabit,” katanya.

Ahmad Idham berkata, kertas siasatan kes terbabit sudah pun dibuka.

“Situasi sama seperti kita membuat laporan terhadap seseorang kepada polis. Belum tentu orang yang kita laporkan itu salah kerana kerana keputusan bergantung kepada hasil siasatan.

“Semuanya akan dinilai dalam siasatan itu,” katanya.

Ahmad Idham berkata, tindakan tegas diambil bagi mengingatkan syarikat produksi supaya tidak mengambil ringan larangan melakukan kerja penggambaran seperti diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), bulan lalu.

Beliau turut menasihatkan syarikat produksi agar sentiasa merujuk prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan MKN jika ada kemusykilan berhubung aktiviti penggambaran.

“Jika ada yang masih kabur mengenai perkara yang membabitkan kerja penggambaran, saya harap mereka rujuk kepada MKN atau menghubungi talian disediakan.

“Bagi fasa pertama PPN, larangan melakukan penggambaran kekal kecuali untuk program membabitkan berita.

“Kita semua tahu SOP dibuat kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Kalau kita tengok, jumlah kes penularan COVID-19 makin meningkat.

“Saya harap semua pihak bersabar dan tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan kesusahan pada diri sendiri untuk jangka panjang,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat