Malaysia biar kecil asal bermaruah, Pas cadang bangunkan wilayah utara, pantai timur kaya sumber semulajadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya Malaysia berhenti menjadi “tukang jahit” dalam rantaian nilai global.

Ahli Parlimen Pas Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, Malaysia memiliki potensi besar dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui.

“Jangan kita ulangi kesilapan menjadi terlalu bergantung kepada satu sumber. Jangan sampai akhirnya kita hanya menjadi pemain pinggiran dalam ekonomi dunia, sekadar pembekal bahan mentah kepada industri negara maju.

“Kita mesti keluar dari belenggu ini. Biarlah kita kecil, tetapi bermaruah; sederhana, tetapi berdikari.

“Sebagai contoh, Terengganu mempunyai simpanan unsur nadir bumi (REE) sebanyak 7.19 juta tan, iaitu 44.4 peratus daripada jumlah nasional . Unsur seperti Praseodimium, Neodimium, dan Disprosium yang terdapat di negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, dan Kedah amat penting dalam pembuatan magnet untuk teknologi tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik.

“Namun, kita masih belum memanfaatkan sepenuhnya potensi ini. Kerajaan perlu memberi perhatian serius kepada pembangunan wilayah utara dan pantai timur, seperti Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Kawasan-kawasan ini bukan sahaja kaya dengan sumber semula jadi, tetapi juga mempunyai kedudukan geografi yang strategik untuk pembangunan industri dan pelabuhan. Tanah yang luas dan kos operasi yang lebih rendah menjadikan kawasan ini sesuai untuk pembangunan industri berteknologi tinggi.

“Selain itu, kita perlu menggalakkan pembangunan sektor perkhidmatan bernilai tinggi, seperti teknologi maklumat, bioteknologi, dan pertanian pintar,” katanya ketika Sidang Khas Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut Ketua Penerangan Pas itu lagi, Malaysia kini berada di kedudukan ke-33 dalam Indeks Inovasi Global 2024, menunjukkan potensi besar dalam bidang inovasi .

Justeru ujarnya, dengan memanfaatkan kepakaran tempatan dan memperkukuh perlindungan harta intelek, kita boleh menjana pendapatan melalui penciptaan dan inovasi tempatan.

“Jika kita terus bergantung kepada model ekonomi lama yang berasaskan komoditi dan pemasangan, kita akan terus ketinggalan dalam persaingan global.

“Sudah tiba masanya kita menyusun semula asas ekonomi negara dengan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi, memanfaatkan sumber tempatan, dan membangunkan wilayah yang kurang maju.

“Hanya dengan langkah berani dan strategik ini, kita dapat memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif untuk masa depan Malaysia,” saran beliau.

Tambah Fadhli, ketika Malaysia sedang berdepan dengan impak tarif 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas eksport Malaysia, adalah penting untuk kita menilai semula langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk melindungi rakyat daripada kesan ekonomi yang semakin mencengkam.

“Menurut laporan, sehingga 50,000 pekerjaan di Malaysia berisiko terjejas akibat ketegangan perdagangan ini . Sektor eksport utama seperti elektrik dan elektronik, yang menyumbang 54.6 peratus daripada jumlah eksport ke AS, dijangka mengalami pertumbuhan hanya 3 peratus pada tahun 2025, berbanding 8.5 peratus pada tahun sebelumnya . Ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan negara tetapi juga pendapatan isi rumah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

“Dalam situasi ini, langkah kerajaan untuk meneruskan rasionalisasi subsidi RON95, yang dijadualkan bermula pertengahan 2025 dan menyasarkan 15 peratus golongan berpendapatan tinggi , perlu dikaji semula.

“Walaupun langkah ini bertujuan untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara, ia mungkin memberi tekanan tambahan kepada rakyat yang sudah terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Inflasi dijangka meningkat kepada 2.6 peratus pada tahun 2025, sebahagiannya disebabkan oleh pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan ap . Dalam keadaan ini, adalah wajar untuk kerajaan mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan sebaliknya meningkatkan bantuan tunai kepada golongan berpendapatan rendah untuk meringankan beban mereka.

“Selain itu, kerajaan boleh memperkenalkan geran padanan fiskal untuk mengagihkan hasil persekutuan kepada negeri-negeri berdasarkan tahap implikasi tarif dan kesan ekonomi yang dialami.

“Langkah ini bukan sahaja mencerminkan semangat federalisme tetapi juga memastikan bantuan disalurkan secara adil dan efektif kepada kawasan yang paling terjejas. Dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu, pendekatan yang responsif dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat adalah amat penting, syor beliau.

Fadhli berkata lagi, dalam soal perdagangan dan hubungan antarabangsa, Malaysia mesti mengambil pendirian berkawan dengan semua, bermusuh dengan tiada siapa, tetapi tetap menjaga kepentingan sendiri.

“Jangan biarkan hubungan perdagangan menjadi tali yang menjerut leher kita. Jangan biarkan dasar luar tunduk kepada agenda luar. Sebaliknya, kita perlu memperluas rangkaian ke pasaran baru yang sedang berkembang pesat—benua Afrika, Asia Tengah, Amerika Latin—yang masih banyak ruang untuk Malaysia menonjol tanpa perlu bersaing dalam gelanggang kuasa besar,” katanya.

Tetapi apa yang mendukacitakan kata Fadhli, dalam saat getir seperti ini, kerajaan hanya menghantar pegawai junior dan menteri junior untuk berunding dengan Washington.

“Sedangkan jiran kita seperti Indonesia menghantar Menteri Penyelaras Ekonomi mereka, Vietnam pula menghantar Timbalan Perdana Menteri mereka.

“Malaysia? Kita hantar Timbalan Ketua Setiausaha. Ini rundingan berprofil tinggi, tetapi kerajaan kita hadir dengan profil rendah. Seolah-olah kerajaan lebih sibuk hendak memuaskan hati kuasa besar berbanding mempertahankan kepentingan rakyat sendiri.”

“Lebih malang lagi, sehingga hari ini Malaysia masih gagal melantik seorang Duta Besar ke Amerika Syarikat. Sudah berbulan-bulan kerusi itu kosong, tanpa suara rasmi di Capitol Hill.

“Bagaimana kita mahu berunding dengan serius jika tiada utusan rasmi di pentas diplomatik utama? Ini bukan sahaja memberi isyarat Malaysia tiada hala tuju dalam hubungan luar, malah memperlihatkan kepada dunia bahawa kerajaan kita sendiri keliru dengan dasar luar negara. Apakah kerajaan sedang tidur di saat ekonomi negara diancam dari luar,” soal beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat