Sanusi Hentikanlah Retorik KXP dan Projek Mega Tak Menjadi – Mukhriz

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor didesak menghentikan retorik mengenai Kulim International Airport (KXP) dan pengumuman-pengumuman projek mega yang tak menjadi.

Pendahulunya iaitu bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata Sanusi harus telus dalam hal ini dan menyatakan keadaan sebenar berkenaan pengambilan tanah KXP di Sidam Kiri.

“Berterus terang sajalah mengenai KXP. Hentikan retorik seolah-olah projek mega ini akan menjadi kenyataan dan memanfaatkan rakyat, walhal tiada satu apapun yang dibuat untuk menjayakannya.

“Hentikan sikap suka mengumumkan projek mega yang akhirnya tidak direalisasikan dan sebaiknya, tumpukan kepada masalah rakyat yang sebenar iaitu kos sara hidup yang semakin hari semakin membebankan,” bidas Mukhriz dalam kenyataannya pada Selasa.

“Saya merujuk kepada jawapan yang diberikan oleh Menteri Besar Kedah, Sanusi kepada soalan saya berkenaan bayaran deposit untuk pengambilan tanah bagi tujuan Kulim International Airport (KXP) yang sepatutnya dibayar oleh pihak Kumpulan ECK.

“Menteri Besar telah menyatakan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada November 2021 bahawa Kumpulan ECK akan membayar lebih RM2.0 bilion untuk tujuan itu. Bagaimanapun, saya mendapat pengesahan bertulis daripada Kerajaan Negeri bahawa Kumpulan ECK sehingga kini tidak membuat sebarang bayaran kepada pihak KXP Airportcity Holdings Sendirian Berhad (KXPACH) mahupun Kerajaan Negeri,” kata Presiden Pejuang itu lagi.

Mukhriz yang juga ADUN Jitra memberitahu pada Januari 2020 kawasan tanah seluas 3,982 hektar di Sidam Kiri, Kedah telah dikenal pasti sebagai sesuai untuk dibangunkan sebuah lapangan terbang kargo antarabangsa serta kawasan perindustrian berkaitan sektor penerbangan, logistik dan pengeluaran.

Namun katanya, setelah Kerajaan Negeri Kedah bertukar tangan dari Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) pada Mei 2020, beberapa ketetapan utama berkenaan KXP telah diubah.

“Pada 2 Ogos, 2021 Kerajaan Kedah telah menandatangani perjanjian perkongsian dengan Kumpulan ECK untuk membina lapangan terbang KXP itu. Sebuah syarikat bertujuan khas, yang mana Kumpulan ECK memiliki 80 peratus ekuiti, telah ditubuhkan.

“Menteri Besar mengumumkan bahawa projek ini akan siap dibina pada tahun 2026, selepas mana lanskap ekonomi Kedah akan menyaksikan perubahan besar. Beliau juga berkata bahawa fasa pertama projek ini akan menelan belanja sebanyak RM6.0 bilion yang juga melibatkan kos perolehan tanah.

“Apabila saya bertanya kepada Menteri Besar semasa Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada November 2021, beliau memberikan jaminan bahawa Kumpulan ECK akan membayar RM2.0 bilion kepada Kerajaan Negeri untuk tujuan pengambilan tanah,” ujarnya.

Kata Mukhriz lagi, tempoh bayaran tersebut sangat penting kerana Kerajaan Negeri telah pun meletakkan tanah yang dikenalpasti di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menghalang sebarang transaksi ke atas tanah tersebut antara pemilik tanah dengan mana-mana pembeli.

Menurutnya, sekatan Seksyen 4 ini hanya boleh dikuatkuasakan selama dua tahun sahaja. Selepas itu Seksyen 8 akta sama perlu diwartakan, di mana bayaran perlu dibuat sekiranya pengambilan tanah tidak dibatalkan sebelum itu.

“Kerajaan Kedah kini menjawab soalan saya bahawa Kumpulan ECK tidak membuat sebarang bayaran. Walhal pada hari yang sama sewaktu perjanjian perkongsian antara Kumpulan ECK dan Kerajaan Kedah ditandatangani, Kumpulan ECK juga telah memeterai perjanjian dengan Ivory Properties Group Berhad untuk membangunkan komponen perumahan di AirportCity dan Aerotropolis di Kedah, melibatkan tanah seluas 135 ekar.

“Sebagai sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, Ivory Properties telah membuat deklarasi bahawa salah satu syarat yang dikenakan ke atasnya oleh Kumpulan ECK ialah pengeluaran jaminan korporat tidak melebihi RM1.0 bilion di atas nama KXP AirportCity Holdings. Jaminan korporat itu perlu sah sehingga 31 Julai 2022.

“Setahu saya tiada pengeluaran jaminan korporat dikeluarkan oleh Ivory Properties kepada KXPACH. Kebimbangan saya ialah sambil Kerajaan Kedah mahupun KXPACH tidak  menerima barang sesen pun dari Kumpulan ECK mahupun Ivory Properties, Kumpulan ECK telah pun meraih keuntungan atas angin dengan “menjual” projek perumahan kepada Ivory Properties,” katanya.

Terkini menurut Mukhriz Menteri Besar tampak tidak yakin projek KXP Aerotropolis akan mendapat kelulusan dari Kerajaan Persekutuan.

“Jawapan Menteri Pengangkutan kepada soalan saya selaku Ahli Parlimen Jerlun pada Sidang Dewan Rakyat juga mengesahkan jangkaan itu. Menteri Pengangkutan menjelaskan bahawa suatu Pelan Perkhidmatan Penerbangan Nasional perlu dikaji dan diluluskan terlebih dahulu sebelum sebarang ketetapan dibuat berkaitan KXP.

“Menteri Besar memaklumkan kepada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini bahawa tempoh kajian tersebut adalah selama tiga tahun. Kajian belum dimulakan. Maka, adakah realistik projek ini boleh siap pada tahun 2026 seperti yang pernah diumumkan oleh YAB Menteri Besar?

“Pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah itu juga Menteri Besar menyatakan bahawa konsultan untuk merekabentuk dan menasihati berkenaan KXP, yang dilantik melalui
tender terbuka oleh Kerajaan PH dahulu, telah ditamatkan perkhidmatan dan digantikan dengan konsultan baharu. Alasannya, KXP hendak dibangunkan hanya sebagai lapangan terbang kargo sahaja, dan bukan untuk perkhidmatan penumpang,” ulas beliau.

Mukhriz memberitahu, Syarikat Aeroport de Paris Ingenierie (ADPI) yang telah dilantik semasa saya Menteri Besar diiktiraf dunia sebagai syarikat pengurusan dan pembangunan lapangan terbang antarabangsa yang terbesar dan paling berjaya.

“Siapa konsultan baharu yang menggantikan ADPI yang dianggap oleh Sanusi sebagai lebih hebat daripada pakar ternama dan diiktiraf dunia itu? Adakah lantikan konsultan baharu itu dibuat melalui tender terbuka?

“Kalau dilihat dari pengumuman demi pengumuman yang saya telah buat semasa berjawatan Menteri Besar, KXP itu adalah lapangan terbang kargo, dan bukannya untuk penumpang.

“Oleh itu, KXP tidak bersifat saingan kepada perkhidmatan penerbangan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA). Maka, pengumuman mutakhir Sanusi kononnya beliau telah membuat keputusan baharu untuk menukar model perniagaan KXP supaya hanya mengendalikan perkhidmatan kargo adalah tidak masuk akal sama sekali.

“KXP sememangnya dari asal lapangan terbang kargo. Namun, di bawah pentadbiran Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanifah, perkhidmatan penumpang ditambah
dalam skop model perniagaan KXP.

“Kes ini membuktikan bahawa Menteri Besar dan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinannya tidak cekap, dan tidak mengamalkan tadbir urus yang baik untuk membangunkan Negeri Kedah. Malah keputusan-keputusan yang telah dibuat merugikan Kedah dan membantut pembangunan infrastruktur perhubungan penting untuk seluruh wilayah utara Semenanjung iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim,” tempelak Mukhriz.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,604FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat