KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang hari ini meminta kerajaan memberi peluang dikalangan mereka untuk menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat jika benar-benar mahu melaksanakan pembaharuan dalam Dewan Rakyat.
Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berkata, tindakan memberi peluang Ahli Parlimen pembangkang untuk membarisi jawatan timbalan speaker akan menunjukkan ‘rentas parti’ sebenar oleh kerajaan.
“Timbalan speaker ada tiga dan (jika) salah satunya daripada pembangkang barulah betul ‘reform’,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 pada Rabu.
“Di dalam Kamar Khas kami diberi peluang jadi speaker … kenapa dalam sidang (Dewan Rakyat) tak diberi peluang?” Semalam, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan di Dewan Rakyat.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan menubuhkan perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti yang berasingan daripada perkhidmatan awam.
Perbahasan RUU itu yang berlangsung sejak semalam bersambung hari ini untuk kelulusan.