SHAH ALAM – Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) hari ini mengumumkan pelantikan Kim Pan-gon sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad utama Gergasi Merah, berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan rasmi, Selangor FC turut memaklumkan bahawa bekas Ketua Jurulatih Interim, Christophe Gamel, telah dilantik sebagai Pengarah Teknikal Selangor FC yang baharu.
“Berbekalkan pengalaman yang luas serta pencapaian yang cemerlang, kelab percaya Kim Pan-gon akan memikul tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih skuad utama Gergasi Merah dengan jayanya serta mengemudi pasukan Selangor ke tahap yang lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.
Pelantikan Kim Pan-gon dilihat sebagai langkah strategik kelab dalam usaha memperkukuhkan prestasi pasukan utama serta mengekalkan daya saing Selangor FC di peringkat tertinggi bola sepak tempatan.
Sementara itu, Selangor FC menjelaskan peranan Christophe Gamel selaku Pengarah Teknikal akan tertumpu sepenuhnya kepada pembangunan jangka panjang kelab.
“Peranan Christophe Gamel selaku Pengarah Teknikal Selangor FC adalah tertumpu sepenuhnya kepada pembangunan jurulatih dan pemain muda bagi skuad bawah 23 tahun sehingga peringkat akar umbi Selangor FC,” jelas kenyataan tersebut.
Selangor FC turut mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua individu berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Selangor FC mengucapkan selamat maju jaya kepada Kim Pan-gon dan Christophe Gamel dalam menjalankan tanggungjawab dan peranan mereka. Demi Kebanggaan!” menurut kenyataan itu lagi.



