KUALA LUMPUR – Polis Perak mengesahkan penahanan dua individu berhubung siasatan ke atas sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata dua ejen yang ditahan itu masing-masing seorang lelaki dan wanita.
“Ada tangkapan, (membabitkan) seorang lelaki dan seorang wanita. Ejen gagal deposit wang kutipan zakat.
“Baru tangkap, kita sedang siasat, nanti bagi info lagi,” lapor BH di Ipoh.
Mohd Yusri bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai hubungan antara dua suspek yang ditahan, di mana tangkapan dilakukan, serta sama ada dua yang ditahan adalah pemilik syarikat atau pekerja.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilapor berkata polis menyiasat sebuah syarikat dilantik sebagai ejen kutipan zakat oleh MAIPk selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.
Siasatan dijalankan selepas syarikat terbabit dipercayai gagal mendepositkan wang zakat bermula Mac hingga September 2023; yang mana kes itu antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat sepanjang tahun lalu dengan jumlah keseluruhan kerugian berjumlah RM9.71 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dijangka terdapat individu yang akan dipanggil dalam masa terdekat.
Sementara itu, difahamkan MAIPk tidak boleh memberi sebarang kenyataan buat masa ini memandangkan perkara itu masih dalam siasatan dan tindakan pihak polis.