KUALA LUMPUR-Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menjalin kerjasama meningkatkan kemahiran pekerja bagi memenuhi keperluan pelabur dan majikan.
Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pertemuan empat mata dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim membincangkan keperluan penyertaan pekerja dalam sektor berteknologi tinggi.
“Kalau kita nak tingkatkan penyertaan dalam sektor berteknologi tinggi, kita perlukan lebih banyak tenaga kerja mahir.
“Perlu ada laluan yang jelas untuk pekerja kita meningkatkan kemahiran bagi memenuhi keperluan pelabur dan majikan.
“Ini adalah antara topik yang dibincangkan semasa pertemuan saya bersama Steven Sim, Menteri Sumber Manusia,” katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul memaklumkan mereka juga
turut membincangkan isu ketidaksepadanan kemahiran dan inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan produktiviti tenaga kerja Malaysia.
“Insya-Allah, MITI akan terus menjalinkan kerjasama erat bersama KSM bagi menangani pelbagai isu berbangkit demi memajukan para pekerja di Malaysia.
“Bak kata YB Steven, kita jalan teruih,” ujar beliau.